Sapiah wanita Orang Asli pertama dilantik Ketua Pengarah Jakoa

Sapiah Mohd Nor melakar sejarah menjadi wanita Orang Asli pertama dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli. – Sumber FB Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR: Sapiah Mohd Nor melakar sejarah menjadi wanita Orang Asli pertama dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berkuat kuasa mulai esok.

Dalam catatan Facebook hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau telah nenyerahkan surat pelantikan kepada Sapiah, 56, dan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Bagi pihak kerajaan dan seluruh Keluarga Malaysia, saya merakamkan ucapan tahniah dan selamat menjalankan tugas,” kata beliau.

Sapiah, 56 tahun, Orang Asli keturunan Suku Semai turut mencatat sejarah menjadi wanita Orang Asli pertama dilantik ke jawatan tertinggi perkhidmatan awam.

Dalam pada itu, laporan Bernama memetik Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pelantikan Sapiah diperkenan Yang di-Pertuan Agong dan surat pelantikannya diserahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Perdana Menteri di bangunan Parlimen pada tengah hari tadi.

“Pelantikan ini merupakan sejarah kepada Jakoa apabila dipimpin oleh golongan wanita sekali gus meningkatkan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dan masyarakat Orang Asli dalam perkhidmatan awam,” kata Mahdzir dalam satu kenyataan.

Menyertai perkhidmatan awam sebagai Penolong Pegawai Tadbir pada 1991 dan pernah berkhidmat di beberapa kementerian dan jabatan dalam tempoh 30 tahun itu, Sapiah sebelum pelantikan terkini merupakan Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).