Sah Majlis Am MTUC tolak RUU Kesatuan Sekerja perkenalkan kepelbagaian kesatuan sekerja

Majlis Am MTUC mengambil pendirian menolak peruntukan “kepelbagaian kesatuan sekerja” yang bakal diperkenalkan sekiranya Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja diluluskan oleh Parlimen.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor mengesahkan pihaknya telah mengambil pendirian menolak peruntukan “kepelbagaian kesatuan sekerja” yang bakal diperkenalkan sekiranya Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja diluluskan oleh Parlimen.

Kata beliau, perkara itu telah dicapai dalam mesyuarat Majlis Am yang berlangsung pada Ahad lalu.

“Mesyuarat Majlis Am telah memutuskan untuk membantah kepelbagaian kesatuan sekerja di sesebuah organisasi.

“Keputusan Mesyuarat Majlis Am telah sebulat suara mencapai persetujuan untuk membantah cadangan untuk mengeluarkan sekatan ke atas pembentukan kesatuan sekerja berdasarkan penubuhan tertentu atau persamaan dalam tred, pekerjaan atau industri bagi membenarkan kepelbagaian kesatuan sekerja diadakan,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan.

Kata beliau, keputusan itu akan dibawa ke Persidangan Perwakilan MTUC yang berlangsung selama dua hari mulai esok.

“Ini adalah kerana Persidangan Perwakilan MTUC mempunyai kuasa tertinggi untuk mencapai satu muafakat suara yang akan dipersetujui secara rasmi,” kata beliau lagi.