RUU Kesatuan Sekerja: Lebih 100 bantah pindaan atas alasan bakal mudaratkan pekerja, kesatuan

Pindaan Akta Kesatuan Sekerja terus mendapat bantahan daripada kesatuan sekerja.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 35 dan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) memutuskan untuk menolak pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959, yang telah dibacakan kali pertama Mac lalu.

Dengan itu, setakat ini lebih 130 kesatuan sekerja individu telah mengambil pendirian itu.

UNI-MLC mempunyai lebih 100 gabungan.

“Pendirian 35 kesatuan sekerja dan UNI-MLC, yang telah menyatakan ikrar, adalah mana-mana peruntukan dalam RUU ini yang membawa kepada kepelbagaian akan ditolak,” kata Pengerusi Gabungan Menentang Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU), Rudy Rusly (foto) dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini.

Kata beliau, CAMU ditubuhkan untuk tujuan tunggal menolak peruntukan berkaiatan kepelbagaian kesatuan sekerja yang bakal diperkenalkan oleh Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja 1959 (Pindaan) 2022 yang dijangka dibacakan kali kedua pada sidang Parlimen Julai-Ogos ini.

Beliau menambah, pihaknya telah diberi mandat untuk meminta penangguhan bacaan kali kedua RUU ini, yang dijadualkan semasa persidangan Parlimen akan datang, bermula 18 Julai 2022, ditangguhkan.

Dalam kenyataan dua minggu lalu, CAMU menggesa agar kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua RUU Kesatuan Sekerja 1959 dan mengadakan dialog dengan kesatuan sekerja.

RUU untuk meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959 telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2022.

Rudy berkata, Akta Kesatuan Sekerja 1959 merupakan kaedah kawalan utama kerajaan ke atas landskap buruh yang tersusun, dan lingkungan kawalan ini meliputi hal ehwal dalaman Kesatuan Sekerja selain mengawal hubungan Kesatuan-Pengurusan yang memihak kepada majikan.

“Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan RUU Kesatuan Sekerja tidak membawa penambahbaikan ke atas perhubungan perindustrian atau memperuntukkan persekitaran perhubungan perindustrian yang membina.

“Sebaliknya, ia mengenai kawalan ke atas kesatuan sekerja seolah-olah kesatuan sekerja merupakan antara beberapa organisasi yang mengakibatkan kemudaratan atau berfikiran pengganas, yang berhasrat untuk memusnahkan ekonomi Malaysia dan menyebabkan huru-hara,” kata beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Tambah beliau, kerajaan bukan sahaja gagal meratifikasi Konvensyen No. 87 (C87) Pertubuhan Buruh Antarabangsa, tetapi ia juga telah menggugat hak pekerja dan kesatuan sekerja mereka, menggunakan kuasa yang diperoleh daripada Akta Kesatuan Sekerja dan sekatan yang ada dalam Akta Perhubungan Perusahaan.

“Kesatuan sekerja yang beroperasi dalam persekitaran C87 dan Konvensyen No. 98 (C98) bukan membawa kerosakan, seperti yang dapat dilihat di negara-negara Scandinavia.

“Seperti yang terbukti, tawar-menawar kolektif membantu pembangunan negara yang menggalakkan pengagihan kekayaan yang saksama, dan demokrasi kesatuan sekerja,” kata beliau.

Sehubungan dengan itu katanya, peminggiran dan penurunan bilangan kesatuan sekerja di Malaysia adalah disebabkan oleh sekatan dan campur tangan dalam Akta Perhubungan Perushaan yang membolehkan majikan dan pihak berkuasa membuat keputusan sama ada kesatuan akan diberi pengiktirafan yang sewajarnya.

“Kuasa sedemikian yang diberikan kepada majikan dan kerajaan melanggar C87. Ia akan sangat memudaratkan solidariti kesatuan sekerja dan melemahkan kuasa tawar-menawar pekerja dan kesatuan sekerja.

“Yang paling rugi dan mangsa ialah pekerja miskin dan yang tertindas,” kata Rudy lagi.

Menurut Rudy, pada masa ini terdapat undi rahsia dan dengan pindaan ini akan ada undi rahsia tambahan.

“Ini akan meningkatkan kuasa sedia ada pihak berkuasa dan majikan untuk mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas pengiktirafan dan kebebasan Kesatuan Sekerja, yang melanggar C87 dan C98,” katanya.

Oleh itu, kata beliau, impak pemusnah akibat kepelbagaian kesatuan sekerja bukan sahaja ke atas pekerja dan kesatuan sekerja, tetapi juga kepada ekonomi.

Senarai kesatuan sekerja dan pergerakan kesatuan yang memutuskan untuk membantah RUU Kesatuan Sekerja:

  1. KESATUAN PEKERJA-PEKERJA DALAM PERKHIDMATAN PERUBATAN DAN KESIHATAN SWASTA
  2. KESATUAN PEKERJA-PEKERJA PARKROYAL KUALA LUMPUR
  3. KESATUAN PEKERJA-PEKERJA PERUSAHAAN SIMEN (S.M)
  4. KESATUAN SEKERJA INDUSTRI ELEKTRONIK WILAYAH UTARA SEMENANJUNG MALAYSIA (EIEIU)
  5. KESATUAN EKSEKUTIF CIMB
  6. NATIONAL UNION OF DRINK INDUSTRY WORKERS, PENINSULAR MALAYSIA
  7. KESATUAN PEKERJA-PEKERJA MALAYSIAN ZOOLOGICAL SOCIETY
  8. KESATUAN KAKITANGAN AM KOLEJ UNIVERSITI TUNKU ABDUL RAHMAN
  9. KESATUAN PEKERJA-PEKERJA KELAB SEMENANJUNG MALAYSIA (CEUPM)
  10. ALL MALAYAN ESTATES STAFF UNION (AMESU)
  11. KESATUAN PEKERJA-PEKERJA PEWTER DAN KRAFTANGAN SEMENANJUNG MALAYSIA
  12. KESATUAN PEKERJA-PEKERJA KERETAPI TANAH MELAYU BERHAD (RUM)
  13. KESATUAN KEBANGSAAN PEKERJA-PEKERJA PERUSAHAAN PETROLEUM DAN KIMIA SEMENANJUNG MALAYSIA (NUPCIW)
  14. KESATUAN EKSEKUTIF GENTING MALAYSIA BHD
  15. KESATUAN KEBANGSAAN PEKERJA-PEKERJA BANK (NUBE)
  16. KESATUAN KEBANGSAAN ATENDAN PESAWAT MALAYSIA (NUFAM)
  17. FOREIGN AIRLINES EMPLOYEES UNION PENINSULAR MALAYSIA
  18. KESATUAN PEKERJA-PEKERJA PERUSAHAAN MEMBUAT TEKSTIL & PAKAIAN NEGERI SEMBILAN DAN MELAKA
  19. KESATUAN PEKERJA-PEKERJA PERUSAHAAN MEMBUAT TEKSTIL DAN PAKAIAN JOHOR
  20. EKSEKUTIF AIROD SDN BHD
  21. KESATUAN PEKERJA-PEKERJA PERUSAHAAN MEMBUAT TEKSTIL DAN PAKAIAN PULAU PINANG DAN SEBERANG PERAI
  22. KESATUAN KEBANGSAAN PEKERJA-PEKERJA TELEKOMUNIKASI SEMENANJUNG MALAYSIA (NUTE)
  23. MALAYAN SUGAR MANUFACTURING COMPANY EMPLOYEES’ UNION
  24. KESATUAN PENGAWAL-PENGAWAL KESELAMATAN MALAYAN BANKING
  25. KESATUAN KAKITANGAN EKSEKUTIF INDUSTRI MINUMAN
  26. KESATUAN PEKERJA-PEKERJA PELABUHAN PULAU PINANG
  27. KESATUAN EKSEKUTIF KELAB SEMENANJUNG MALAYSIA
  28. KESATUAN SEKERJA INDUSTRI ELEKTRONIK WILAYAH SELATAN SEMENANJUNG MALAYSIA (KSIEWSSM)
  29. KESATUAN PEKERJA-PEKERJA MALAYSIA AIRPORTS BERHAD
  30. ASSOCIATION OF MAYBANK CLASS ONE OFFICERS (AMCO)
  31. KESATUAN PEKERJA-PEKERJA PAKAIAN SERAGAM POS MALAYSIA BERHAD SEMENANJUNG MALAYSIA (UPUS)
  32. KESATUAN PEKERJA-PEKERJA CONTINENTAL TYRE AS MALAYSIA SDN BHD
  33. KESATUAN PEKERJA-PEKERJA PERUSAHAAN MEMBUAT TEKSTIL & PAKAIAN SELANGOR DAN WILAYAH PERSEKUTUAN
  34. KESATUAN PEKERJA-PEKERJA CENTRAL SUGARS REFINERY (PADANG TERAP) SDN BHD
  35. KESATUAN PEKERJA-PEKERJA SABAH PORTS SDN BHD
  36. MAJLIS RANGKAIAN KESATUAN SEKERJA ANTARABANGSA MALAYSIA (UNI-MLC)