KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa kerajaan telah bersetuju untuk membentang dan memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti pada persidangan Dewan Rakyat bermula 28 Februari ini adalah tepat, kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, langkah itu selaras dengan semangat memorandum persefahaman (MoU), yang telah ditandatangani antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) pada Ogos lalu.
“Kenyataan Datuk Seri Dr Wan Junaidi ini juga selaras dengan pendirian yang diketengahkan oleh PH dalam pertemuan dengan beliau, di mana PH telah menegaskan bahawa RUU ini perlu dibawa ke Parlimen mengikut garis masa yang telah dipersetujui dan ditetapkan sebelum ini,” kata beliau.
Beliau mengatakan demikian dalam kenyataan dikeluarkan mengulas kenyataan Wan Junaidi bahawa RUU itu akan tetap dibawa ke sidang Parlimen kali ini.
Menurut Wan Junaidi, keputusan itu juga selaras dengan saranan Perdana Menteri yang mahu pindaan RUU berkenaan disegerakan dan dibentangkan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 tahun 2022.
“Saya melihat ia wajar dan menunjukkan kepimpinan YAB Perdana Menteri menunaikan janji beliau dan pendirian PH,” kata Madius yang juga Ahli Jawatankuasa Teknikal RUU Antilompat Parti .
Pada pandangan PH, kata beliau,pembentangan RUU ini tidak wajar ditangguh dan dilewatkan kerana rakyat akar umbi mahukan perubahan yang ketara bagi memastikan tiada mana-mana wakil rakyat yang bertindak melompat parti, sekali gus mempertahankan integriti dewan perundangan dan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran, pengumuman Wan Junaidi juga dengan sendiri menafikan pandangan sesetengah pihak bahawa RUU ini tidak akan dibentangkan dan tidak akan menjadi kenyataan kerana Kerajaan Pusat tidak serius dan MoU yang dimeterai oleh PH tidak bernilai dan tidak bertaring.
“Jika ada mana-mana perkara yang belum padu, saya percaya kita masih ada masa untuk melakukan penambahbaikan,” kata beliau.
Sehubungan dengan itu, kata beliau, apa yang penting RUU ini harus dan perlu dibawa ke sesi Parlimen Februari-Mac ini.
“Saya juga berharap kerajaan-kerajaan negeri akan mengambil langkah yang sama untuk meminda undang-undang di peringkat negeri, termasuk Perlembagaan Negeri masing-masing,” kata beliau.