Rasuah Busters: Redakan keresahan rakyat

PANDANGAN: Pengampunan separa dan pengurangan denda terhadap hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengundang keresahan rakyat dan menghantar isyarat salah kepada dunia bahawa Malaysia berkompromi dengan rasuah.

Rakyat mula rasa terbeban dengan implikasi pengurangan denda apabila pembayaran hutang 1MDB tetap perlu dilangsaikan sehingga 2039 sedangkan krisis ekonomi negara belum lagi pulih sepenuhnya dan ramai masih bertarung untuk ‘survival’ pada waktu ini.

Ahli-ahli Parlimen adalah pemegang tonggak kuasa legislatif iaitu salah satu cabang kerajaan dan berhak memantau keadilan melalui peruntukan yang termaktub di dalam sistem perundangan.

Sebagai cabang yang berperanan membuat dasar dan undang-undang, ahli-ahli Parlimen diberi kepercayaan oleh rakyat untuk melakukan semak dan imbang berdasarkan hak yang dibenarkan oleh perlembagaan demi mengelakkan bahaya ‘tyranny’ dan ‘despotisme’ yang boleh mencemarkan demokrasi.

Tanggungjawab ini harus terus berlangsung untuk merungkai kecelaruan dan kekecewaan rakyat pada hari ini. Justeru itu, penjelasan yang konsisten dan jitu amat diperlukan.

Kuasa legislatif berfungsi untuk memperbaiki sebarang kelompongan undang-undang dengan segera agar prinsip “equality before the law” dapat diterjemahkan dengan lebih efisien demi kesejahteraan rakyat.

Sebagai pendukung mandat rakyat, wakil rakyat diharap bangkit dengan penuh amanah dan keprihatinan yang berpaksikan kompas moral dan etika untuk memastikan jurang ketidaksetaraan dikecilkan, perpecahan dielakkan dan kedaulatan undang-undang Negara dipertahankan habis-habisan.

Nilai dan tamadun peradaban keadilan hanya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat apabila kedaulatan undang-undang dijunjung tanpa gentar atau pilih kasih dengan kewibawaan dan ketegasan penentangan setiap ahli Parlimen terhadap rasuah dan kleptokrasi melalui sistem perundangan yang diteliti, digubal, dipantau dan dihormati tanpa kompromi.

Nota: Kenyataan media dikeluarkan oleh Rasuah Busters