Rasuah: Ahli politik tidak terkecuali, harus jadi contoh baik

Ahli politik dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat bukannya untuk mengkhianati rakyat!

Oleh Jais Abdul Karim

PANDANGAN: Gendang perang pilihan raya 6 buah negeri telah mula kedengaran. Pengundi perlu dididik cara-cara mengenali calon yang bebas rasuah atau tidak.

Telah menjadi ‘adat’ kepada ahli politik di serata dunia termasuklah di Malaysia yang secara tiba-tiba menjadi kaya semasa mereka berkuasa. Syak dan kebimbangan mengenai kemungkinan penglibatan mereka dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa pasti ada.

Walaupun ia tidak secara automatik menunjukkan rasuah, peningkatan kekayaan yang ketara boleh menjadi petunjuk jelas potensi penglibatan mereka dengan jenayah ini.

Penimbunan kekayaan secara tiba-tiba boleh menunjukkan bahawa ahli politik tersebut terlibat dalam amalan rasuah seperti menerima suapan, menggelapkan dana awam atau terlibat dalam aktiviti kewangan haram.

Rasuah melibatkan penyalahgunaan kuasa untuk keuntungan peribadi dan boleh memberi kesan yang merugikan terhadap pembangunan dan kesejahteraan negara.

Ahli politik yang mengumpulkan kekayaan semasa berkhidmat pastinya telah menyalahgunakan kuasa mereka dan memanipulasi sumber kerajaan untuk keuntungan kewangan peribadi.

Mereka boleh terlibat dalam nepotisme dan kronisme seperti mengkayakan individu tertentu sama ada rakan atau ahli keluarga dengan memberikan kontrak, projek atau faedah yang berkaitan.

Sesetengah ahli politik juga mengeksploitasi kedudukan mereka untuk terlibat dalam aktiviti perniagaan haram, memanfaatkan maklumat dalaman atau perlakuan curang bagi mengumpulkan kekayaan. Mereka berpotensi menggunakan hubungan politik mereka untuk mendapatkan kontrak yang menguntungkan atau terlibat dalam amalan perniagaan rasuah.

Peningkatan kekayaan secara tiba-tiba boleh menjadi petunjuk pencucian wang, di mana dana yang diperoleh secara haram diubah sebagai pendapatan atau pelaburan yang sah.

Ahli politik boleh menggunakan skim kewangan yang kompleks atau akaun di luar negara untuk menyembunyikan asal-usul dana tersebut dan menggabungkannya ke dalam sistem kewangan yang sah.

Kemewahan ahli politik yang berlaku secara tiba-tiba secara tidak masuk akal pasti menyoroti kepentingan ketelusan dan tanggungjawab dalam jawatan awam. Jika terdapat mekanisme pemantauan yang lemah, pengisytiharan kewangan yang tidak memadai atau pemeriksaan terhadap harta ahli politik yang terhad, menjadi lebih mudah untuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa tidak dikesan.

Adalah penting untuk pihak berkuasa terutamanya SPRM menyiasat sebarang kecurigaan rasuah atau penyalahgunaan kuasa apabila ahli politik mengalami peningkatan kekayaan yang ketara semasa berkhidmat.

Langkah-langkah pencegahan rasuah yang kukuh, termasuk pemantauan bebas, keperluan pengisytiharan kewangan dan penguatkuasaan undang-undang yang berkesan, memainkan peranan penting dalam memerangi rasuah dan memastikan pegawai awam bertanggungjawab atas tindakan mereka.

Penyiasatan kes rasuah memang tiada tarikh luput. Walaupun ahli politik ini telah bersara puluhan tahun, SPRM tetap perlu laksanakan siasatan apabila terdapat aduan atau bukti-bukti penting yang melibatkan mereka pada ketika berkuasa tiba-tiba timbul kembali.

Kehidupan mereka yang berlebihan dan melampaui batasan pendapatan juga adalah petunjuk penting. Penggunaan sistem ‘money trail’ pasti boleh membawa mereka ke muka pengadilan bersama bukti yang nyata.

Penyelidikan Malaysian Corruption Barometer bagi tahun 2014 dengan jelas menunjukkan bahawa parti politik adalah institusi yang mempunyai rasuah yang paling tinggi. Inilah juga yang sering dilihat oleh seluruh rakyat Malaysia.

Kenal pasti rasuah ahli politik

Mengenal pasti dan menangani ahli politik yang rasuah merupakan tugas kompleks yang memerlukan kerjasama pelbagai pihak di peringkat dalam negara dan antarabangsa. Masyarakat antarabangsa telah menemui beberapa cara untuk mengenalpasti dan memerangi ahli politik yang rasuah.

Perjanjian Antirasuah Antarabangsa yang juga telah ditandatangani oleh Kerajaan Malaysia yang bertujuan memerangi rasuah seperti Perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) atau Perjanjian Antirasuah Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) adalah alat yang amat penting.

Perjanjian ini menyediakan rangka kerjasama pelbagai negara dalam mencegah, menyiasat dan memfailkan pendakwaan terhadap rasuah melibatkan ahli politik.

Perjanjian ini juga mengukuhkan mekanisme ketelusan dan tanggungjawab di peringkat antarabangsa untuk mengenalpasti dan menangani ahli politik yang rasuah.

Mekanisme ini merangkumi pemantauan dan pelaporan tahap rasuah di negara yang berbeza, melakukan penilaian dan menggalakkan inisiatif antirasuah menerusi penilaian NGO atau badan bebas yang relevan.

Menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam ketelusan kewangan dan pemulangan harta adalah penting dalam memerangi rasuah. Pelbagai negara boleh bekerjasama untuk mengesan dan mendapatkan semula harta yang diperoleh melalui amalan rasuah oleh ahli politik. Inisiatif seperti Stolen Asset Recovery Initiative (StAR) dan Financial Action Task Force (FATF) menyediakan rangka kerja untuk kerjasama antarabangsa dalam perkara ini.

Perlindungan kepada pelapor adalah standard antarabangsa untuk melindungi pemberi maklumat yang membantu mendedahkan ahli politik yang rasuah. Dengan memastikan perlindungan undang-undang bagi individu yang melaporkan rasuah, lebih ramai orang mungkin akan muncul dengan maklumat tentang amalan rasuah yang melibatkan ahli politik.

Sekatan dan larangan perjalanan oleh badan penyiasatan antarabangsa dan kerajaan penting dalam menyekat dan memberi larangan perjalanan terhadap ahli politik yang terlibat dalam rasuah. Langkah ini pasti akan membataskan kemampuan mereka untuk mengakses sistem kewangan antarabangsa dan berjalan dengan bebas serta menghantar mesej yang kuat bahawa rasuah tidak akan ditoleransi.

Mekanisme Semakan Negara Sahabat telah menjadi satu cara yang berkesan untuk menilai dan memantau usaha antirasuah. Melalui mekanisme ini, negara sahabat boleh menilai kemajuan masing-masing dalam memerangi rasuah termasuk mempertanggungjawabkan ahli politik atas tindakan mereka.

Pengukuhkan kerjasama antarabangsa dalam pendakwaan ahli politik yang rasuah adalah penting. Perjanjian bantuan dan kerjasama undang-undang antara negara boleh memudahkan perkongsian maklumat, bukti, dan kepakaran yang membawa kepada pendakwaan dan pencegahan yang berjaya.

Pendekatan pelbagai

Memerangi rasuah politik memerlukan pendekatan yang pelbagai melibatkan usaha antarabangsa dan dalam negara sendiri. Kerajaan setiap negara harus memperkuatkan langkah-langkah antirasuah mereka sendiri, mempromosikan tadbir urus yang baik dan membina budaya ketelusan dan tanggungjawab.

Ahli politik dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat bukannya untuk mengkhianati rakyat!

Ramai rakyat yang sedang susah sebaliknya ahli politik kelihatan hidup dengan cukup mewah dan berlebih-lebihan. Selaku pembuat undang-undang, ahli politik diharapkan untuk mematuhi undang-undang ini dan menjadi contoh teladan yang terbaik.

Bagi mendapatkan sokongan dan kepercayaan berterusan rakyat, SPRM mesti bertindak dengan berani, cepat bersama komitmen yang tinggi untuk menyiasat sebarang aduan itu secara professional tanpa sebarang rasa ‘fear or favour’.

Tiada siapa pun yang boleh dilindungi atau terselamat dari perundangan negara yang tercinta ini. Rakyat akan bersama mendokong segala usaha SPRM.

Jais Abdul Karim merupakan Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)