KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membentangkan kertas putih mengenai pelaksanaan sistem gaji progresif pada 30 November ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memberitahu Dewan Rakyat bahawa pelaksanaan sistem itu pada umumnya bersifat sukarela tetapi dengan ada mekanisme ‘carrot and stick’.
“Dari segi kaedahnya, kita akan bentangkan kertas putih pada 30 November (ini). Tetapi pada umumnya ialah ia bersifat sukarela tetapi dengan ada carrot and stick,” kata beliau ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 peringkat kementerian.
Kata beliau, dari segi manfaat kepada majikan, kalau mereka memasuki skim dan mula membayar gaji secara progresif mengikut kadar yang ditetapkan oleh kerajaan mengikut sektor dan tahap-tahap kemahiran, mereka akan mendapat insentif tunai tertentu.
“Kebaikan kepada majikan juga ialah kakitangan mereka yang berada dalam skim gaji progresif perlu melalui latihan kemahiran yang khusus supaya itu akan menaikkan kemahiran mereka.
“Stick-nya, kalau mereka tidak masuk, maka mereka akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bakat kerana apabila rakyat dan tenaga kerja kita tahu bahawa syarikatsyarikat yang di bawah dasar gaji progresif ini adalah syarikat yang membayar gaji yang berpatutan, maka itu akan mengalihkan tumpuan tenaga kerja kepada syarikat-syarikat ini.
“Perincian-perincian lain itu, insya-Allah kita akan berikan dan kita bahaskan pada 30 November ini,” kata beliau.