JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15.
Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada jam 5 petang di Istana Bukit Serene di sini, hari ini. Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Pada pertemuan bersama Sultan Johor itu, Hasni diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani yang kemudian mempersembahkan watikah pembubaran DUN Johor.
“Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim termansuh pada 22 Januari 2022,” kata hantaran dalam akaun rasmi Facebook Sultan Johor, hari ini.
Sementara itu, pada sidang media selepas pertemuan tersebut, Hasni berkata PRN perlu diadakan berikutan kerajaan negeri berada dalam keadaan amat tidak stabil dan berada atas ihsan pembangkang.
Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor berkata kedudukan kerajaan negeri yang rapuh itu tidak harus berlaku di negeri ini.
Katanya, beliau membuat penilaian teliti selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian, bagi mengadakan pilihan raya kecil (PRK), namun mengubah pendirian berikutan jaminan komitmen kestabilan yang diberikan pembangkang Johor.
“Namun insiden pembangkang Johor yang membawa rundingan Majlis Tindakan Daerah (MTD) pada Sidang DUN Johor selepas Belanjawan Johor 2022 dibentangkan, November lalu, mengubah pendirian saya.
“Ia berikutan undian dilakukan menerusi rundingan itu membawa kepada keputusan seri 27 sama apabila undian di DUN dilakukan. Namun, Speaker DUN, Suhaizan Kaiat memutuskan untuk berpihak pada kerajaan menjadikan keputusan undian 28-27, bagi membolehkan kerajaan Johor tidak tergantung.
“Insiden ini membuktikan kerajaan Johor amat tidak stabil dan berada atas ihsan pembangkang manakala komitmen pembangkang itu hanya janji manis di bibir. Oleh itu, UMNO Johor dan saya memutuskan untuk kita dapat mandat baharu daripada rakyat bagi menubuhkan kerajaan negeri lebih kuat.
“Kerajaan yang lebih kuat dapat membawa lebih banyak pembangunan kepada negeri dan rakyat dan tidak sekadar bergerak atas ihsan pembangkang,” katanya.
Sebelum mengadap Sultan Kohor, Hasni yang juga ADUN Benut telah mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor.
Hasni memberitahu, pembubaran DUN sudah berlaku dan terserah kepada Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat, membuat pengumuman rasmi diikuti ketetapan tarikh PRN yang akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 60 hari.
Hasni juga melihat peluang UMNO Johor amat baik pada PRN yang akan berlangsung nanti.
Katanya, ia berikutan komitmen jitu jentera parti yang sentiasa bersiap sedia dan bersungguh mematuhi arahan yang diberikan kepemimpinan tertinggi dan negeri.
Mengulas isu pembahagian kerusi pula, Hasni yakin ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“UMNO, MCA dan MIC Pusat akan duduk berbincang bagi menentukan pengagihan kerusi sebelum memuktamadkan calon, namun kita harap dapat lebih kerusi berbanding PRU14. Kita akan tunggu ketetapan dibuat pucuk pimpinan,” katanya.
Mengulas sama ada BN Johor akan bergerak bersendirian pada PRN ini, Hasni berkata, kerjasama dalam komposisi pembahagian kerusi parti di luar BN pada PRN, adalah tertakluk pada budi bicara pimpinan tertinggi.
“Kita di negeri akan beri maklum balas dan cadangan termasuk kerjasama dalam BN sendiri.
“Saya akan bincang di peringkat negeri dan akan bentangkan kepada pucuk pimpinan untuk dimuktamadkan, namun pintu belum tertutup untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak,” katanya.
Klip video sidang media Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad di Johor Bahru hari ini.