PRN Johor: SPR umum tarikh penamaan calon, undi 9 Februari

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh hari penamaan calon dan hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 9 Februari ini. – – Foto ihsan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh hari penamaan calon dan hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut Johor pada 9 Februari ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat khas yang diadakan pada Februari juga akan menetapkan tarikh bagi writ pilihan raya dan daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagi mendepani PRN berkenaan.

“Berdasarkan Fasal (4) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 berkehendakkan suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN berkenaan,” kata beliau.

Ikmalrudin berkata, SPR secara rasmi sudah menerima notis daripada Speaker DUN berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14 semalam, sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Johor, Undang-Undnag Tubuh Kerajaan 1895.

Sabtu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.

PRN Johor merupakan PRN yang keempat dalam empat tahun ini, termasuk tiga PRN mengejut. Dua PRN mengejut yang diadakan sebelum ini adalah Sabah dan Melaka.