PRN Johor: SOP lebih fleksibel, masih boleh dibaiki

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan SOP Pilihan Raya Negeri Johor pada Jumaat lalu dengn fokus ke atas lapan aktiviti.

SHAH ALAM: Prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terutama yang membabitkan aktiviti berkempen lebih fleksibel berbanding pengalaman di Melaka dan Sarawak tahun lalu.

Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran berpandangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertanggungjawab mengeluarkan SOP pilihan raya telah mengambil kira pandangan, syor dan permintaan pelbagai pemegang taruh susulan situasi PRN Melaka dan Sarawak.

“Mengambil kira situasi ketika PRN Sabah, dan pengalaman dan kritikan semasa PRN Melaka dan Sarawak, SPR dan agensi-agensi yang terlibat dalam penggubalan SOP PRN Johor telah menyediakan SOP yang lebih longgar dan fleksibel,” kata beliau kepada Sinar Harian.

Kata beliau, meskipun sifat rigid masih wujud, tetapi beberapa kelonggaran turut diberikan, antaranya kempen bersemuka, kunjungan ke rumah dan sesi jelajah mesra ketika tempoh berkempen serta syarahan dan ceramah yang dihadkan kepada 100 orang peserta.

Beliau yang juga penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir berkata, SOP kali ini bersifat konstruktif, keadaan yang diperlukan bagi memenuhi prinsip kewujudan pemilih lengkap maklumat sebelum mereka melangkah ke hari pengundian.

Kata beliau, pilihan raya harus menyediakan platform yang adil kepada kedua-dua calon bagi menyalurkan maklumat mengenai diri dan janji mereka manakala pengundi pula memperoleh maklumat yang cukup bagi membolehkan mereka membuat keputusan terbaik.

Menurut beliau, kedua-dua aspek itu berhadapan dengan kekurangan dan kecacatan serius sehingga banyak pihak menggesa SPR melonggarkan SOP pilihan raya.

“SOP terbaharu (PRN Johor) ada menyediakan kemudahan untuk mencapai prinsip ‘informe choice’, tetapi masih boleh ditambah baik,” kata beliau.

Di bawah SOP yang diumumkan kelmarin, penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah dibenarkan sepanjang 14 hari tempoh berkempen PRN Johor.

Menurut SOP tersebut, ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang.

Tempoh setiap sesi ceramah, syarahan, kempen hanya selama dua jam dan tidak melebihi jam 10 malam manakala ceramah, kempen dan syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan. Bagaimanapun sebarang bentuk hiburan semasa berkempen tidak dibenarkan.

Bagi SOP kempen ziarah rumah ke rumah, penyertaan adalah tidak melebihi lima orang namun tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah atau berjumpa dengan ahli rumah dan aktiviti mengedarkan risalah perlu dibuat di luar pagar.

Menurut Manimaran, berbanding PRN Melaka dan Sarawak, SOP PRN Johor juga diumumkan lebih awal iaitu satu minggu sebelum hari penamaan calon, dan perkembangan itu harus dialu-alukan.

Kata beliau, secara keseluruhan SOP pilihan raya merangkumi lapan aktiviti termasuk peraturan ketika hari penamaan calon, kempen, hari mengundi dan perjumlahan kertas undi.

Bagaimanapun Manimaran berkata, beliau yakin akan ada permintaan dan rayuan daripada parti-parti politik agar SPR melonggarkan waktu syarahan atau ceramah yang dihadkan kepada dua jam dan perlu ditamatkan pada pukul 10 malam.