KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan tempoh berkempen sekurang-kurangnya 21 hari, termasuk ceramah dan kempen bersemuka ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
PH yang mengadakan mesyuarat Majlis Presiden hari ini berkata, permintaan itu berdasarkan wabak COVID-19 di negara ini sudah semakin bersifat endemik dengan jumlah kes positif, selain kemasukan ke hospital yang agak stabil.
Selain itu kata PH, jumlah penerima dos kedua yang mencecah 80% dan dos penggalak lebih 30% dan oleh itu, SPR perlu memperbetul prosedur operasi standard (SOP) bagi kempen PRN Johor bagi membolehkan aktiviti seperti ceramah serta kempen bersemuka diadakan dengan selamat.
Selain itu, PH juga mendesak akses media diberikan kepada semua parti secara adil membabitkan segi ruangan masa dan ruangan cetak bagi tujuan kempen.
Kata PH lagi, mereka berpandangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor adalah tindakan yang diatur khusus bagi mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen, sekali gus mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Pada ketika rakyat terutama di Johor masih terbelenggu dengan isu ekonomi, wabak Covid-19, dan banjir, PRU Johor akan amat membebankan rakyat. Walau bagaimanapun, PH telah membuat keputusan untuk bertanding,” kata PH dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
PH berkata, isu persiapan termasuk agihan kerusi, pelancaran jentera pilihan raya, penamaan calon Menteri Besar serta sebarang kerjasama atau persefahaman politik dengan parti pembangkang lain akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Sabtu lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menandatangani watikah pembubaran DUN selepas menerima menghadap Menteri Besar Hasni Mohammad, di Istana Bukit Serene.
PRN mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN, iaitu pada atau sebelum 23 Mac.
Hari ini, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataannya berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRN Johor pada 9 Februari ini.
Sementara itu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya telah memutuskan bahawa semua parti pembangkang, termasuk PEJUANG, WARISAN dan MUDA perlu bekerjasama bagi menghadapi PRN Johor yang bakal diadakan.
“Ada beberapa persetujuan awal. Kita akan membuka ruang untuk semua kekuatan pembangkang dan masyarakat sivil (untuk) memastikan ada perubahan.
“Kalau ada sedikit retak, tidak akan membantu. Jadi kita ada satu suara, satu tindakan dan satu strategi untuk memastikan kerajaan UMNO BN dikalahkan bermula di Johor,” kata beliau.
“Semua pembangkang, maknanya PEJUANG, WARISAN, MUDA, masyarakat sivil dan parti-parti lain. Strategi kita mesti merangkul semua pembangkang,” kata beliau.
Susulan itu, katanya, PH Johor akan memulakan rundingan bagi pembahagian kerusi, termasuk kerusi yang sebelum ini ditandingi Bersatu ketika masih bersama gabungan itu.
Katanya lagi, soal pengagihan kerusi Senggarang, Mahkota dan Serom – yang dimenangi wakil Amanah yang kemudian menyertai PKR – turut diserahkan kepada kepimpinan di peringkat negeri.
Pada Februari 2021, Khairuddin A Rahim (Senggarang), Muhamad Said Jonit (Mahkota) dan Faizul Amri Adnan (Serom) melompat ke PKR.