PRN Johor menyusul Melaka dan Sarawak?

Johor bakal menyaksikan pilihan raya negeri dalam waktu terdekat? – Foto ihsan Getaran.com

KUALA LUMPUR: Negara bakal menyaksikan Pilihan Raya Negeri (PRN) susulan pilihan raya yang disaksikan di Sarawak dan Melaka?

Semalam, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dipetik media menyatakan bahawa Kerajaan Johor akan meneliti kedudukan semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam membuat pertimbangan sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu diadakan atau sebaliknya.

Menurut beliau, langkah itu dalam pertimbangan berikutan situasi politik di Johor ekoran kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian, 21 Disember lalu.

Osman juga merupakan mantan Menteri Besar Johor, yang pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang berlangsung pada Mei 2018.

Bagaimanapun menurut Hasni, keadaan di Johor adalah berbeza berbanding situasi di Sarawak ataupun Melaka.

Oleh itu jelas beliau, perbincangan akan diadakan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, termasuk berhubung kedudukan kerajaan negeri sedia ada yang kini mempunyai kelebihan sangat tipis dengan majoriti hanya satu kerusi.

“Kerajaan sedia ada bertambah tidak stabil dan saya sedang memantau keadaan,” kata beliau.

Minggu lalu, Speaker DUN, Suhaizan Kaiat memberitahu bahawa tidak perlu pilihan raya kecil kerana sudah melepasi tempoh tiga tahun mandat.

Pemergian Osman menjadikan kerajaan negeri kini hanya mempunyai kelebihan satu kerusi, iaitu 28 berbanding 27 kerusi milik Pakatan Harapan (PH).

Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor berkata, pihaknya perlu melihat reaksi terkini ADUN pada Persidangan Khas DUN yang akan diadakan pada 6 Januari ini.

Persidangan itu akan diadakan untuk meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895 bagi pelaksanaan Undi 18.

“Kita akan melihat dari semua sudut untuk memahami reaksi dalam kalangan ADUN daripada gabungan parti yang menubuhkan kerajaan negeri ketika ini,” kata beliau dipetik BH Online.

Dalam PRU 2018, BN memperoleh 19 kerusi, PAS (1) manakala Pakatan Harapan (36). Bagaimanapun kedudukan itu berubah ekoran perubahan kerajaan dengan BERSATU, BN dan PAS membantuk kerajaan. ADUN Adun Pemanis dari PKR, Dr Chong Fat Full keluar parti itu untuk menjadi wakil rakyat Bebas.

Istana Johor pada 27 Februari 2020 mengumumkan gabungan baru akan mengambil alih kerajaan negeri selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menemu bual 54 daripada 56 Adun.

Sultan mendapati 28 daripada mereka menyokong gabungan baru BERSATU-BN-PAS berbanding 26 yang menyokong Pakatan Harapan.