G Manimaran
TIDAK sampai seminggu selepas cuti sempena Tahun Baharu Cina, jangkitan COVID-19 kembali meningkat dengan mendadak, hampir tiga kali ganda setakat semalam. Malah kadar semasa jangkitan COVID-19 jauh lebih tinggi berbanding ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan. Semalam negara merekodkan 13,944 kes berbanding 4,116 semasa DUN dibubarkan pada 22 Januari lalu.
Perkembangan itu turut mendapat perhatian dan menjadi buah mulut hampir setiap pemegang taruh ketika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersiap sedia untuk mengumumkan tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menjelang tengah hari ini. SPR akan mengumumkannya di Johor Bahru di akhir mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.
Tiga perkara berkaitan dinantikan di sebalik pengumuman penting lagi bersejarah ini. Pertama tarikh pilihan raya. Kedua adalah prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh berkempen PRN Johor. Dan, ketiga kemudahan untuk mengundi secara pos bagi mereka yang bekerja di luar negara terutama di Singapura, bilangannya dianggarkan sekitar 400,000 pengundi.
Minggu lalu, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh menyatakan bahawa pengundi Johor yang bekerja di Singapura boleh memohon untuk menjadi pengundi pos. Jelas beliau, mereka boleh mengemukakan permohonan dalam tempoh yang akan dimaklumkan selepas mesyuarat khas. Mengenai SOP kempen pula, kata beliau, Garis Panduan Pencegahan COVID-19 bagi PRN Johor akan dimaklumkan selepas dikemas kini oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatam Negara (MKN). Dalam program Bicara Naratif minggu lalu, beliau mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan dan MKN memberi sedikit kelonggaran kepada calon parti politik yang akan berkempen.
Kelonggaran itu yang diperlukan selepas SPR dikritik bertindak terlalu ketat dan rigid di Melaka – jiran Johor.
Semasa PRN Melaka pada November lalu, SOP yang diumumkan oleh SPR, MKN dan Kementerian Kesihatan dilaporkan tidak membenarkan aktiviti seperti ceramah terbuka, walkabout, ziarah rumah ke rumah dan beberapa lagi aktiviti membabitkan perhimpunan bagi mengekang penularan COVID-19. Di bawah PRN Sarawak, Disember tahun lalu, penganjuran ceramah secara fizikal hanya dibenarkan di kawasan DUN yang tidak mencapai jaringan internet saja.
Meskipun Kementerian Kesihatan dan MKN dilaporkan akan mengesyorkan kepada SPR mengenai SOP yang sewajarnya, diharap SPR sebagai badan induk pengurusan pilihan raya akan membawa ke perhatian kedua-dua entiti itu akan kewajaran dan harapan serta cadangan yang pernah disyorkan oleh pelbagai pihak sebelum ini, terutama ketika PRN Melaka dan Sarawak, yang dilihat terlalu ketat sehingga mengetepikan prinsip pilihan raya demokrasi – menyediakan peluang yang luas dan adil dalam menyebar luas mesej dan menerima mesej kempen daripada parti dan calon yang bertanding, sekali gus memenuhi prinisp ‘informed choice’ dan membuat keputusan memilih wakil rakyat pilihan masing-masing. Berdasarkan kenyataan dipetik BH Online lewat semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kerajaan boleh memberi pandangan berhubung pelaksanaan SOP pilihan raya negeri (PRN) Johor, namun keputusan terakhir terletak di tangan SPR.
Apa pun, kesemua pemegang taruh yang bakal turun gelanggang pertandingan mahu SPR memberikan keanjalan dalam aktiviti berkempen manakala pemilih pula memperoleh maklumat mengenai mesej kempen. Ini asas prinsip pilihan raya demokrasi.
Tidak dinafikan bahawa kita perlu ada peraturan khusus ketika pandemik sekarang, tetapi jangan sampai ia membunuh semangat demokrasi dan prinsip pilihan rata demokrasi.
PRN Johor merupakan pilihan raya negeri ketiga berturut-turut dalam tempoh empat bulan ini, termasuk dua daripadanya dipanggil secara mengejut. Kedua-duanya melibatkan negeri selatan Semenanjung. PRN Johor merupakan bersejarah kerana ini kali pertama, seperti Melaka, PRN mengejut diadakan dan dilangsungkan secara berasingan berbanding pilihan raya umum kerusi Dewan Rakyat.
Dua PRN menyaksikan peratusan keluar mengundi hanyalah sekitar 65 peratus dan ke bawah. PRN Melaka mencatatkan 65.8 peratus manakala Sarawak pula dan 60.6 peratus. Kita perlu memastikan peratusan keluar mengundi di Johor mencecah 70 peratus atau lebih 80 peratus yang disaksikan ketika pilihan raya umum 2018.
Jika peratusan keluar masih rendah, ia merupakan satu kerugian yang amat besar kepada prinsip pilihan raya demokrasi. Malah, sekiranya perkembangan itu berlaku bermakna kita tidak akan mencapai prinsip penyertaan aktif atau penuh dalam pilihan raya yang dilangsungkan. Dengan perbelanjaan jutaan ringgit, ketiadaan penyertaan yang meluas oleh pengundi akan memperlihatkan mesej tidak sihat dari segi prinsip pilihan raya demokrasi.
Beberapa parti politik utama melahirkan harapan akan diberi ruang dan peluang yang adil untuk menjalankan kempen secara fizikal dan bersemuka dengan SOP yang lebih longgar. Langkah melonggarkan SOP bagi pelaksanaan PRN Johor akan memberi manfaat kepada parti politik dalam mendekati pengundi untuk mencapai objektif mereka.
Di tengah demam PRN Johor dan ketika jangkitan COVID-19 meningkat secara tiba-tiba, Kementerian Kesihatan menjangkakan gelombang penularan Omicron hanya dapat diturunkan sebulan atau dua bulan lagi. Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia bergantung kepada pematuhan langkah pengawalan oleh rakyat termasuk mengambil dos penggalak dan mendapatkan vaksin untuk anak-anak mereka.
Pihak berkuasa pilihan raya, iaitu SPR perlu melipatgandakan usaha untuk meningkatkan keyakinan dan merangsang pengundi keluar mengundi dalam jumlah yang besar bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing. Pengundi perlu mengetepikan kebimbangan. Mereka perlu yakin dengan tatacara perjalanan proses pengundian meskipun berdepan dengan pandemik yang masuk tahun ketiga.
Sementara hari pengundian dijangka jatuh pada minggu pertama atau kedua Mac ini, dua minggu sebelum genap 60 hari yang ditetapkan untuk mengadakan pilihan raya apabila DUN dibubarkan, keputusan SPR diharap akan memberi nafas segar untuk mengembalikan kerancakan pilihan raya dengan memastikan setiap pengundi mengambil bahagian secara aktif dalam pilihan raya. Begitu juga parti dan calon yang mencuba nasib mereka.
Tidak dapat dinafikan PRN Johor akan menambah kehangatan dengan kehadiran hampir 750,000 pengundi baharu di bawah sistem pendaftaran pemilih secara automatik, termasuk mereka yang telah mencapai usia 18 tahun. Dengan 2.5 juta pengundi, PRN Johor akan mencatatkan rekod kemunculan pengundi paling ramai dalam sejarah negeri. Kita perlu memastikan setiap pengundi yang mempunyai hak di bawah lunas perundangan akan menunaikan tanggungjawab mereka. Ia adalah hak rakyat dan pemilih berdaftar di negara ini.
Diharap sejarah Undi 18 dan pelaksanaan pendaftaran pengundi automatik dan kelayakan menjadi calon sebaik mencapai usia 18 tahun, tidak tinggal “molek” di atas kertas semata-mata dengan peruntukan pindaan undang-undang. Sebaiknya ia harus dipraktikkan dengan keluar bagi menunaikan tanggungjawab demokrasi. Ia akan menjadi kenyataan jika semua pihak memainkan peranan masing-masing. Kita perlu ada pulangan ke atas pelaburan atau ROI dari segi pilihan raya demokrasi.
PRN Johor unik dalam pelbagai segi. Tarikh sudah hampir pasti. SOP perlu lebih anjal. Sejarah bakal melakar landskap pilihan raya.
- Dr G Manimaran merupakan penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir
- Sumber: Astro Awani Online