KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Rabu ini bagi menetapkan tarikh-tarikh pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri.
Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat itu diadakan susulan notis pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang diterima daripada Speaker DUN masing-masing.
“Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRU DUN Ke-15.
“Ia seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Ikmalrudin berkata, satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas tersebut.
Kesemua menteri besar dan ketua menteri enam negeri tersebut sebelum ini telah bersetuju untuk membubarkan DUN masing-masing pada Jun.
Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri memperuntukkan kekosongan atau kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan kekosongan tersebut.
PRN enam negeri tersebut dijangka akan diadakan selewat-lewatnya pada 12 Ogos depan.
Ia mengambil kira beberapa faktor termasuk kepulangan jemaah haji, Awal Muharam dan sambutan Bulan Kemerdekaan dengan penamaan calon dijangka pada 29 Julai ini.