PRN enam negeri: Hari mengundi 12 Ogos, penamaan calon 29 Julai

PUTRAJAYA: Seperti telah diramalkan, Pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri akan diadakan pada 12 Ogos ini dengan penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan kedua-dua tarikhitu bagi PRN yang akan diadakan serentak melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, serta Terengganu.

Pengundian awal ditetapkan 8 Ogos.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan tarikh-tarikh penting itu berkata seramai lebih 9.73 juta pengundi yang layak akan menjalankan tanggungjawab pada PRN di enam negeri berkenaan.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan April 2023, yang dikemas kini sehingga 21 Jun 2023, ujarnya.

Sehubungan itu, kata beliau, SPR memutuskan satu PRN ke-15 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, 45 (Kelantan), 32 (Terengganu), 40 (Pulau Pinang), 56 (Selangor) dan 36 (Negeri Sembilan).

Bagi maksud menjalankan PRN, SPR telah menetapkan tarikh keluar writ pada 5 Julai.

Hari ini, Abdul Ghani mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR untuk menentukan tarikh-tarikh penting PRN selepas suruhjaya itu penerimaan notis pembubaran rasmi DUN keenam-enam negeri itu daripada Speaker DUN masing-masing.

Menurut Abdul Ghani, daripada jumlah keseluruhan pengundi, seramai 9,674,456 orang adalah pengundi biasa; 49,660 (tentera serta pasangan); 47,728 (polis serta pasangan, Polis Pasukan Gerakan AM (PGA)); serta 1,727 orang pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Dalam pada itu, beliau berkata tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 29 Julai, sehingga 11.59 malam, 11 Ogos 2023 (JUmaat).

Abdul Ghani menambah, kos bagi melaksanakan PRN di keenam-enam negeri terbabit dianggarkan sebanyak RM420 juta.

“Sebanyak 173 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan 186 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan.

“Seramai 153,760 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN ke-15. Manakala, sebanyak 3,190 buah pusat mengundi biasa akan digunakan.

“Ia mengandungi 17,048 tempat mengundi/saluran dan 260 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 377 tempat mengundi/saluran awal.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah 3,450 buah dengan 17,425 tempat mengundi/saluran,” katanya lagi.

Selangor membubarkan DUN secara rasmi pada 23 Jun lalu bagi memberi laluan kepada PRN, Kelantan (22 Jun), Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah masing-masing pada 28 Jun dan Negeri Sembilan pada 1 Julai.

Sebanyak 245 kerusi DUN melibatkan enam negeri akan dipertandingkan pada PRN kali ini.