Presiden UNI-MLC saran prosedur terima bantuan kewangan mangsa banjir dipermudahkan

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal hari ini menyarankan kerajaan supaya mempermudahkan proses permohonan dan menerima bantuan kewangan yang diumumkan untuk membantu mangsa banjir.

Mohamed Shafie berkata, pihaknya menerima banyak aduan mendakwa prosedur dan tatacara yang dikenakan terlalu rigid, sehingga menambah bebas mangsa banjir.

“Kami ada menerima maklumat daripada mangsa banjir, yang turut terdiri daripada kalangan ahli UNI-MLC… ini maklumat yang kami terima.

“Jadi, sementara kami mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), kerana mengumumkan bantuan kewangan RM1,000, pada masa yang sama kita tidak harus sukarkan mangsa untuk mengemukakan permohonan dan mendapatkan bantuan kewangan ini.” kata beliau kepada Workers Times.

Kata beliau, sepatutnya kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan sewajarnya menggunakan pendekatan yang ringkas dan mudah.

“Jangan ada brikorasi yang begitu ketat, sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mangsa, jangan sampai mereka kecewa,” kata beliau lagi.

Pada 21 Disember lalu, Perdana Menteri mengarahkan supaya bantuan sebanyak RM1,000 kepada ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir di seluruh negara dipercepatkan.

Kata beliau, langkah itu perlu bagi meringankan beban ditanggung mangsa yang terlibat dalam menghadapi fasa pasca banjir.

Beliau berkata, ramai yang keliru dengan pengumuman dibuat oleh kerajaan berhubung bantuan awal berkenaan yang kononnya hanya akan diberikan kepada mereka yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau turut mengarahkan semua pihak berkaitan untuk lebih agresif dalam menyegerakan bantuan berkenaan kepada mangsa banjir yang terjeas kerana ada antara mereka yang hanya tinggal sehelai sepinggang selepas kejadian berkenaan.

“Kita bersetuju menyalurkan RM1,000 bagi setiap keluarga yang terkesan akibat banjir, nama mangsa perlu dihantar oleh negeri… oleh daerah yang berkaitan, saya nak supaya ia dipercepatkan, supaya pembayaran tak perlu tunggu lama.

“Saya tak nak bila diumumkan, timbul isu nama tak lengkap dan sebagainya, akhirnya lambat (diterima) sedangkan banjir yang besar ini sesetengah (mangsa tinggal) sehelai sepinggang, habis semua musnah segala-galanya… bantuan kewangan itu penting,” katanya.