Presiden UNI-MLC: Malaysia perlukan kempen besar-besaran perangi rasuah

Datuk Mohamed Shafie BP Mammal.

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, sudah sampai masanya diadakan satu pelancaran atau kempen secara terbuka untuk memerangi rasuah di negara ini.

Berucap pada majlis pembukaan program Bersama Memerangi Rasuah Sesi 1, beliau berkata, mungkin sudah tiba masa diwujudkan mahkamah rasuah supaya kes-kes berkaitan rasuah diberi perhatian yang sewajarnya.

“Jangka masa perbicaraan tidak mengambil masa yang panjang. Rakyat juga ingin mengetahui keputusan perbicaraan,” kata beliau pada program dalam talian ini, yang dianjurkan bersama oleh Pusat Memerangi Rasuah & Kronisma (C4), Rasuah Busters dan Pusat Governans, Integriti & Anti Rasuah Nasional (GIACC).

Kata beliau: “Kita cipta lagu ala-ala rock atau nasyid yang mana liriknya benar-benar boleh menginsafkan insan-insan yang terlibat dengan rasuah.”

Malah katanya, sudah menjadi tanggungjawab setiap warga menjaga nama baik Malaysia dari segi intergriti tanpa kompromi dan bermaruah.

“Amalan ini akan menjadi teladan yang baik kepada generasi akan datang,” kata beliau lagi.

Shafie juga berkata, UNI-MLC menghargai perjuangan Pasukan Teras Rasuah Busters yang dipimpin oleh Datuk Hussamuddin Yaacub yang benar-benar mahu membebaskan negara daripada gejala rasuah.

“Syukur alhamdullillah dengan kerjasama antara C4 bersama Rasuah Busters dan UNI-MLC, kini telah terbentuk satu jaringan kerjasama bagi tujuan memerangi rasuah di negara kita, Malaysia,” kata beliau.

Kata beliau, pada 13 September lalu, semasa pembukaan Parlimen, Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya barisan kepimpinan negara dan penjawat awam, mentadbir negara berteraskan amalan integriti tinggi.

“Pelan Anti Rasuah Nasional yang telah diwar-warkan sebelum ini, masih menjadi tanda tanya sama ada pelan ini benar-benar berkesan atau sebaliknya.

“Kami menyokong penuh supaya negara kita hendaklah bebas daripada cengkaman dan amalan rasuah, kerana telah menjadi satu budaya yang sukar dikikis atau dibuang terus… ini kerana jenama rasuah begitu mesra dengan pelanggan-pelanggan tertentu,” kata beliau.

Turut bercakap pada program ini termasuklah Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Izani Wan Ishak; Pengarah Bahagian Penyelidikan Antirasuah GIACC, Rasidah Abdul Karim; Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin dan Pengurus Program C4, Sudhagaran Stanley.