
KUALA LUMPUR: Persatuan Bekas Kastam Malaysia (Perbekas) dan Persatuan Bekas Penjawat Awam Se-Malaysia (Pejasma) memohon agar Bantuan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2025 sebanyak RM350 diberikan kepada pesara kerajaan Gred 56 dan ke bawah sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilftri
Presidennya, Datuk Abd Rahman Manan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan diharap akan mempertimbangkan permohonan itu memandangkan kos harga barang terus mengalami kenaikan.
“Seperti mana kita semua maklum, rata-rata pesara Gred 56 ke bawah khasnya Gred 1- 40, tidak mempunyai pendapatan sampingan selain pencen bulanan.
“Perbekas dan Pejasma yakin bahawa Kerajaan Malaysia Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar yang begitu perihatin terhadap rakyat akan memberi perimbangan yang sewajarnya.
“Semoga Perdana Menteri dan Menteri Kewangan akan membuat penguman tidak berapa lama lagi,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Minggu lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) melahirkan harapan agar kerajaan mempertimbangkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam bagi meringankan beban perbelanjaan sempena perayaan tersebut.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, bantuan khas tersebut dapat membantu penjawat awam menguruskan keperluan kewangan dengan lebih baik dalam keadaan kos sara hidup yang masih tinggi.
Kata beliau, Aidilfitri sinonim dengan peningkatan perbelanjaan, khususnya bagi mereka yang perlu membuat persiapan pulang ke kampung halaman, menyediakan keperluan asas keluarga serta memenuhi keperluan pendidikan anak-anak.
“Sebagai tulang belakang perkhidmatan kerajaan, penjawat awam sentiasa komited menjalankan tanggungjawab mereka kepada negara.
“Cuepacs amat menghargai perhatian dan pertimbangan kerajaan terhadap permohonan ini demi kesejahteraan penjawat awam yang terus berkhidmat dengan penuh keikhlasan serta tanggungjawab,” kata beliau.
Adnan turut menjelaskan bahawa insentif ini bukan sahaja dinantikan oleh penjawat awam, malah turut memberi manfaat kepada peniaga bazar Ramadan dan peruncit yang bergantung kepada peningkatan kuasa beli rakyat untuk meningkatkan hasil jualan.