Potong elaun, gugur atlet: UNI-MLC kecam KBS sudah hilang fokus

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal

KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa Kementerian Belia dan Sukan mengkaji semula tindakan memotong elaun dan menggugurkan lebih 100 atlet atas alasan kekangan kewangan.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, pihaknya memandang serius laporan yang mengatakan bahawa Kementerian Belia dan Sukan dan agensi-agensi di bawahnya memutuskan untuk melaksanakan langkah pemotongan elaun manakala Majlis Sukan Negara (MSN) pula dilaporkan menggugurkan 144 atlet daripada program latihan kebangsaan kerana bajet yang diterima dikurangkan dalam usaha kerajaan memberi keutamaan kepada pasca-COVID-19 dan bencana banjir yang melanda beberapa negeri.

Kata beliau, UNI-MLC amat terkejut dengan laporan sejak seminggu lalu dan bimbang ia akan mendatangkan impak negatif yang amat mendalam ke atas program pembangunan atlet dan bidang sukan negara dalam jangka panjang.

Kata Shafie, UNI-MLC mahu Kementerian Belia dan Sukan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang sedang berlaku dan telah berlaku.

“Kementerian Belia dan Sukan dan kesemua agensi sukan di bawah Kementerian itu dengan segera perlu mengembalikan kadar elaun yang diberikan sebelum ini.

“Alasan bahawa tidak cukup dana kewangan tidak dapat diterima sama sekali jika kita benar-benar mahu memberi tumpuan ke atas pelan pembangunan atlet,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Soal Shafie: “Adakah Menteri Belia dan Sukan sedar dengan kemelut yang berlaku sekarang bukan sahaja telah menjejaskan reputasi atlet, tetapi menjejaskan imej Kementerian Belia dan Sukan yang diberikan amanah untuk membangunkan barisan atlet yang merupakan aset kepada negara.”

Selain itu, beliau juga bertanya, “adakah Kementerian Belia dan Sukan sudah hilang keutamaan fungsi?”

Beliau menambah, kementerian perlu sedar bahawa walaupun atlet menerima elaun semata-mata, tempoh mereka berada dalam tempoh latihan merupakan satu bentuk kerjaya yang perlu dilayan dan dijaga serta diberi perhatian dengan penuh hormat dan bermaruah.

“Pemotongan elaun dan tindakan menggugurkan atlet tidak wajar dan bukan satu tindakan berintegriti.

“Oleh itu, Kementerian Belia dan Sukan perlu mengkaji keputusan mereka untuk memotong dan menggugurkan atelt-atlet atas alasan ketidakcukupan dana.

“Alasan bahawa dana akan digunakan untuk tujuan pembiayaan mangsa-mangsa banjir tidak dapat diterima sekali,” kata beliau lagi.

Shafie juga berkata, sukan merupakan salah bidang yang memerlukan pelaburan dan pengurusan jangka panjang dan besar bagi melahirkan barisan juara di peringkat nasional, serantau dan global.

“UNI-MLC mendapati fokus dan strategi Kementerian Belia dan Sukan pada masa sekarang sudah tersasar dan oleh itu, UNI-MLC mahu kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi arahan tegas agar Kementerian Belia dan Sukan kaji semula tindakan memotong elaun atlet dan menggugurkan atlet.
“Kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri perlu meletakkan kembali keutamaan pembangunan bidang sukan di tempat yang betul, dan tidak wajar bercanggah dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan tahun lalu,” kata beliau.

Shafie juga berkata, sebagai badan pekerja, UNI-MLC mendapati bahawa pemotongan elaun akan menyebabkan imbuhan yang diterima lebih rendah daripada gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan sendiri dan kini kedudukan mereka adalah dalam kumpulan B40.
“Apakah Kementerian Belia dan Sukan sedar akan perkara ini?” kata beliau/

Beliau seterusnya berkata, Kementerian Belia dan Sukan yang diamanahkan untuk menaikkan prestasi dan mutu sukan tidak harus menjadi punca kepada kemerosotan dan merudumnya bidang sukan disebabkan oleh tindakan penyelesaian singkat dengan memotong elaun dan menggugurkan atlet, yang secara langsung telah menjejaskan motivasi dan semangat rakyat untuk menyertai sukan.

“Kementerian Belia dan Sukan perlu serius jika benar-benar mahu menaikkan imej, kualiti dan prestasi sukan,” kata beliau.