KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Sumber Manusia, M. Kulaseragan meminta polis mengklasifikasikan semula kes membabitkan seorang individu yang dituduh menyerang pengawal keselamatan pada Disember lalu dan telah meninggal dunia semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, individu berkenan perlu dikenakan tuduhan membunuh susulan kematian mangsa.
Individu berkenaan telah didakwa pada Januari lalu di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.
Pada 29 Disember 2020, Thava Sagayam, 64, cedera selepas diserang oleh seorang tetamu yang tinggal di sebuah kondominium di Jalan Yang Kalsom, Ipoh.
Tetamu tersebut dikatakan marah kerana anaknya dilarang menggunakan kolam renang yang ditutup.
“Mendiang dimasukkan ke hospital kerana cedera yang dialami dan ditidurkan selama lebih tujuh bulan sehingga dia keluar hospital dan seterusnya meninggal dunia,” kata beliau dalam satu kenyataan dalam bentuk video hari ini.
Oleh itu beliau mahu polis menjalankan satu siasatan menyeluruh dan mengklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Polis Perak, Mior Faridalthrash Wahid berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di rumahnya semalam dengan hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun mengesahkan kematian mangsa adalah akibat jangkitan kuman pada paru-paru (Sepsis).
“Berdasarkan perkembangan baharu ini, polis akan merujuk semula kertas siasatan terhadap kes berkenaan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Perak untuk arahan lanjut,” kata beliau.
Katanya, kejadian itu yang dirakam kamera litar tertutup dan tular baru-baru ini telah berlaku pada 29 Disember 2020 dan polis telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Individu berkenaan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Januari di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan dan kes dijadualkan disebut semula pada 9 September untuk penetapan hukuman.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada tindakan suspek yang tidak berpuas hati terhadap pengawal keselamatan itu kerana cuba menghalang anak suspek daripada menggunakan kolam renang yang tidak dibuka kepada orang ramai ketika itu,” kata beliau.
Mior Faridalathrash berkata, ahli keluarga mangsa bagaimanapun tidak berpuas hati dan mendakwa punca kematian adalah disebabkan kejadian pukul tahun lepas, lalu mereka menularkan kembali rakaman serta gambar insiden berkenaan.
Sejak kelmarin, tular dua rakaman video menunjukkan seorang lelaki yang bersama kanak-kanak bertindak menyerang pengawal keselamatan menggunakan meja hingga pengsan.