PM: Vaksin Lembah Klang lebihi 80 peratus, kerajaan kaji pindah ke Fasa 2

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan suntikan vaksin AstraZeneca dos kesejuta kepada penerima, Zamratulazmi Sarmadi, yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim di WTCKL. Turut hadir Pengarah Eksekutif Kumpulan WTC KL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (paling kanan). Sumber FB Dr Irmohizam Ibrahim

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk memindahkan Lembah Klang ke fasa kedua Pelan Pemulihan Nasional (PPN) memandangkan jumlah vaksin Lembah Klang sudah melebih 80 peratus, sekali gus mencapai imuniti kelompok.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu akan diputuskan dalam waktu terdekat selepas Kabinet mengadakan mesyuarat pertama.

“Kami belum mengadakan mesyuarat kerana belum ada Kabinet pada masa ini. Apabila kita mempunyai Kabinet, kita akan mengadakan mesyuarat, Jawatankuasa Khas Menangani Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang saya ketuai,” kata beliau.

Jelas beliau: “Jika 89.5 peratus, mungkin kita dapat melangkah ke tahap berikutnya kerana dari segi vaksinasi, itu telah melampaui sasaran imuniti kelompok, yang hampir 90 peratus.”

“Oleh itu, kita akan melihatnya secara terperinci nanti. Mungkin banyak negeri lain juga dapat dipindahkan ke fasa berikutnya (Fasa Dua). Jadi tunggu pengumumannya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media semalam selepas melawat pusat vaksinasi di WTC KL semalam dan menyaksikan penerima vaksin yang ke sejuta.

Operasi PPV WTC KL dilancar pada 16 Mei lalu.

Tiga indikator yang ditetapkan untuk peralihan fasa iaitu kes Covid-19 purata harian nasional mesti turun di bawah 4,000, penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) harus berada pada tahap sederhana dan sekurang-kurangnya 10 peratus penduduk seharusnya diberi vaksin sepenuhnya.

Dos pertama membabitkan sebanyak 6,824,193 dos, iaitu bersamaan 110.7 peratus melebihi penduduk Kuala Lumpur ini. Bagi dos kedua iaitu dos lengkap, seramai 5,518,094 iaitu 89.5 peratus sudah menerimanya.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 12,342,247 dos pertama dan kedua sudah diberikan kepada warga Lembah Klang setakat kelmarin.

Suntikan ke sejuta itu dilakukan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Turut hadir pada majlis itu Pengarah Eksekutif WTC KL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Butiran kadar suntikan vaksin yang telah diberikan setakat 28 Ogos 2021. – Sumber FB Jawatankuasa Vaksin