PM umum Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri untuk kakitangan awam, dibayar Jumaat ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, pagi ini. – Foto ihsan Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Berita baik bagi kakitangan awam menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan!

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bahawa penjawat awam Gred 56 ke bawah akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500.

Turut akan menerima BKK Aidilfitri semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen.

Mereka akan menerima insentif itu Jumaat ini.

“Jadi hari ini, bersamaan 21 Ramadan 1445, saya umumkan, Kerajaan (telah) bersetuju (untuk) menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.

“Sebanyak RM250 (akan dibayar) kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen,” kata beliau.

Beliau yang juga Menteri Kewangan mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, pagi ini.

Pada 15 Mac lalu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat meminta Kerajaan memberikan bantuan khas kewangan sempena sambutan Aidilfitri.

Beliau memberitahu bahawa pihaknya berharap Perdana Menteri akan mengekalkan tradisi bantuan khas perayaan itu sebagaimana dilaksanakan sepanjang 10 tahun lalu.

Dalam reaksinya pada 23 Mac lalu, Anwar berkata, Kerajaan sedang mempertimbang untuk memberi bonus kepada penjawat awam sempena Aidilfitri tahun ini.

Kata beliau, ini kerana Kerajaan telah meluluskan pemberian insentif khas RM2,000 seperti yang telah diumumkan sebelum ini.

Selain itu, menurut beliau, Kerajaan juga dalam penelitian pelarasan skim persaraan penjawat awam yang akan diumumkan dalam waktu terdekat.