PM: Guru, kakitangan KEMAS boleh aktif politik

Perdana Menteri Ismail, Datuk Seri Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah memutuskan guru dan kakitangan KEMAS boleh mengambil bahagian dalam politik secara aktif berkuat kuasa serta-merta.

KOTA BHARU: Perdana Menteri Ismail, Datuk Seri Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah memutuskan para guru dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) boleh mengambil bahagian dalam politik secara aktif berkuat kuasa serta-merta.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat bagi menghormati prinsip demokrasi kerana sebelum ini mereka dilarang menyertai kegiatan politik.

Bagaimanapun Perdana Menteri memberitahu, ia tertakluk kepada peraturan jabatan masing-masing dan mereka boleh dikenakan tindakan sekiranya berpolitik sehingga mengabaikan tugas.

“Saya ingin mengumumkan bahawa petugas KEMAS juga bebas, dibenarkan berpolitik cuma mereka tetap tertakluk kepada peraturan daripada jabatan masing-masing,” kata beliau.

Sehubungan dengan itu, beliau mahu Kementerian Pendidikan segera mengeluarkan pekeliling berkaitan supaya tiada lagi tekanan dilakukan terhadap guru-guru.

Beliau mengatakan demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno Kelantan di sini.

Sebelum ini, hanya guru dari Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan aktif dalam politik dan perlu mendapatkan kebenaran rasmi daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan.

Perkara itu dinyatakan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil.9 Tahun 2010, yang turut menetapkan syarat berkaitan.

Bagaimanapun pada hujung tahun lalu Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dilaporkan dalam surat bertarikh 8 Disember 2021 mengeluarkan arahan pembatalan kelulusan penglibatan penjawat awam di dalam politik bagi warga kementerian itu.

Menurut surat tersebut, semua pegawai awam di semua peringkat kumpulan atau gred tidak dibenarkan sama sekali bertanding atau memegang jawatan atau dilantik dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik.

Ismail Sabri mengakui bahawa sebelum ini ada pekeliling untuk menyekat guru daripada berpolitik dan ramai guru diberi amaran untuk diambil tindakan.

“Saya sudah pun bawa perkara ini ke Kabinet dan Kabinet memutuskan dalam menghormati prinsip demokrasi kita benarkan guru-guru berpolitik.

“Dari segi kakitangan KEMAS, dulu mereka dibenarkan berpolitik seperti rakyat biasa, tetapi sewaktu kerajaan PH (Pakatan Harapan) yang lepas, kakitangan KEMAS tidak lagi dibenarkan berpolitik,” katanya lagi.