PM: Gaji minimum dinaikkan kepada RM1,700 mulai 1 Februari 2025

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan bahawa gaji minimum dinaikkn RM200 kepada RM1,700 berkuat kuasa mulai 1 Februari depan. – Foto ihsan FB Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan bahawa gaji minimum dinaikkn RM200 kepada RM1,700 berkuat kuasa mulai 1 Februari depan.

Mengumumkan perkara itu menerusi Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, keputusan itu bagi menstruktur ekonomi negara terutama dalam memastikan rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna.

“Untuk itu, Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada 1,500 ringgit sebulan kepada 1,700 ringgit sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, semalam.

Kata beliau, kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum 1,700 ringgit membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos.

Dasar gaji minimum diperkenalkan satu dekad lalu. Tiga tahun lalu kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 sebulan.

Anwar yang juga Menteri Kewanan berkata, Kementerian Sumber Manusia akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja.

Turut diumumkan, peruntukan RM200 juta bagi Dasar Gaji Progresif.

“Selanjutnya, Dasar Gaji Progresif ialah ikhtiar Kerajaan MADANI untuk mereformasi pasaran buruh dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja.

“Dasar ini sudah mula dilaksana secara rintis pada Jun lalu dan akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun hada,.pan. Dasar Gaji Progresif diperuntukkan RM200 juta dan akan memanfaatkan 50 ribu pekerja,” kata beliau.