PM: Fasiliti banyak bantu mangsa banjir, tak perlu sentuh simpanan KWSP

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan tidak perlu sentuh simpanan KWSP untuk membantu mangsa banjir.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000, meskipun ramai mangsa terjejas dengan banjir.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai memandangkan kerajaan sudah memperuntukkan dana dan mengumumkan bantuan yang mencukupi untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara, selain sedia menambah peruntukan berkenaan.

Selain itu, menurut Perdana Menteri, kerajaan bimbang dengan jumlah baki simpanan dalam akaun pencarum KWSP susulan dua kali pengeluaran menerusi i-Sinar dan i-Citra, dengan ada antaranya berisiko menjadi miskin tegar selepas pencen.

“Ada banyak kemudahan diumumkan kepada mangsa banjir. Jika ada yang mahu buka perniagaan untuk yang terjejas banjir, TEKUN menawarkan pinjaman mudah RM10,000 tanpa faedah dan moratorium, iaitu tidak perlu bayar balik pinjaman selama setahun.

“Bagi yang mahu beli barang keperluan rumah, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan beri pinjaman persendirian RM10,000 tanpa faedah, dan moratorium selama enam bulan.

“Kerajaan sudah sediakan kemudahan ini. Jika apa yang disediakan ini digunakan. Insya-Allah ia boleh membantu mangsa banjir,” kata beliau kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kawasan Hulu Langat, dekat sini hari ini.

Minggu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta bantuan kepada mangsa banjir ditambah, termasuk melanjutkan skim i-Citra KWSP yang tamat bulan ini.

Beliau juga berharap kerajaan membenarkan pengeluaran one-off i-Citra RM10,000 bagi meringankan beban mangsa banjir kerana bantuan kerajaan tidak mencukupi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memberitahu, bencana banjir berlaku dengan pantas menyebabkan ramai penduduk tidak sempat berbuat apa-apa selain menyelamatkan diri dan keluarga.

Sebelum ini, kerajaan meluluskan pengeluaran khas KWSP menerusi i-Sinar pada Mac lalu, dengan had pengeluaran antara RM10,000 hingga RM60,000 bagi mengurangkan impak pandemik.

Kerajaan kemudian mengumumkan pengeluaran khas kedua menerusi i-Citra bermula Ogos lalu, dengan had pengeluaran RM5,000.

Ismail Sabri menjelaskan bahawa kerajaan keberatan meluluskan pengeluaran khas ketiga kerana ramai pencarum kini memiliki jumlah simpanan yang terlalu sedikit untuk persediaan hari tua mereka.

“Tujuan KWSP adalah untuk simpanan hari tua selepas pencen. Selepas pengeluaran khas dua kali sebelum ini, 20 peratus pencarum hanya tinggal baki RM1,000.

“Kalau RM1,000, apabila pencen nanti, automatik mereka akan jadi miskin tegar. Ini yang saya risaukan.

“Malah hampir 95 peratus daripada pencarum yang miliki baki simpanan RM1,000 itu adalah dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera. Kita kena sedar perkara ini,” kata Perdana Menteri.