Piket sulung NUBE protes MBSB, mahu KWSP pecat pemangku CEO dan ketua sumber manusia

Piket kebangsaan NUBE membantah pengurusan MBSB Bank Berhad yang berlangsung di Bandar Baru Bangi, Selangor, tengah hari tadi.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) mengadakan piket peringkat kebangsaan secara serentak di seluruh Semenanjung hari ini bagi membantah tindak-tanduk pengurusan tertinggi MBSB Bank Berhad (MBSB) yang didakwa mendiskriminasi, menafikan dan menganiayai ahli-ahli NUBE, dan bertindak dengan tidak jujur dalam urusan dengan NUBE.

Piket di lima cawangan MBSB, dari pukul 12.30 tengah hari 1.30 tengah hari, berlangsung di Bandar Baru Bangi, Selangor; Wisma Penang Garden Business Centre, George Town, Pulau Pinang, Persiaran Greenhill, Ipoh, Perak; Jalan Melaka Raya 1, Melaka Raya, Melaka dan Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu, Terengganu

Dalam kenyataan dikeluarkan, NUBE berkata, pihaknya tiada pilihan kecuali mengadakan piket ini memandangkan pengurusan tertinggi MBSB dengan sengaja enggan menyelesaikan keluhan-keluhan pekerja yang dibangkitkan dan mengamalkan sikap tidak bertamadun terhadap pekerja-pekerja B40.

“NUBE tidak pernah menghadapi sebarang isu atau masalah dalam memelihara perhubungan perusahaan harmoni, terutama ketika MBSB diterajui oleh Allahyarham Datuk Seri Ahmad Zaini Othman (bekas Ketua Pegawai Eksekutif),” kata NUBE dalam kenyataan dikeluarkan sempena piket kebangsaan tengah hari ini.

Katanya, selepas pemergian Allahyarham Ahmad, pemangku CEO MBSB, Datuk Nor Azam M. Taib dan Pegawai Modal Insan Kumpulan (GPO), Farid Basir, yang bertindak dengan tidak jujur dan tidak profesional, telah mengambil siri tindakan bermusuhan dengan NUBE dan enggan mengakui senarai isu dibangkitkan.

Piket NUBE di pekarangan MBSB Bank di George Town, Pulau Pinang. – Foto ihsan FB NUBE

Katanya, pengurusan semasa telah mengambil pelbagai tindakan yang bertujuan memusnahkan NUBE sejak kedua-dua mereka memegang jawatan di syarikat itu pada April dan Ogos 2021.

NUBE menambah, pendekatan permusuhan dan pemusnahan kesatuan telah dimulakan secara halus oleh kedua-dua pegawai tertinggi itu sejak mereka menyertai MBSB, sekali gus mengganggu hubungan kerja baik yang wujud antara bank dan NUBE pada masa-masa lalu.

“NUBE mendapati ia bukan tindakan yang membina dalam memelihara keharmonian, dan juga bagi menjaga hak dan kepentingan pekerja,” kata kesatuan itu.

NUBE juga berkata, pemangku CEO dengan bangga mengisytiharkan beliau akan menggunakan kuasa penuh undang-undang untuk menghalang NUBE daripada menjalankan peranan fundamentalnya.

“Ancaman seperti ini merupakan satu bentuk salah guna kuasa,” katanya.

Piket NUBE di Melaka.

Sebagai anak syarikat dana pekerja, tambah NUBE, tingkah laku kedua-dua Azam dan Farid tidak sesuai untuk memupuk hubungan yang harmoni.

“Ia dengan jelas menunjukkan sikap dua ketua yang miskin jiwa, sekali gus membazirkan sumber bank demi memuaskan ego mereka tanpa mengambil kira tujuan penubuhan MBSB,” katanya.

Sehubungan dengan itu, NUBE selain menuntut MBSB kembali ke meja perundingan untuk dialog sosial bagi menyelesaikan segala aduan industri dan menggesa Kumpuan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selaku pemegang saham utama MBSB, agar memecat kedua-dua Azam dan Farid demi menjaga kepentingan pekerja-pekerja MBSB dan pencarum KWSP.