Piket kebangsaan NUBE protes HSBC masuk fasa ketiga, berlarutan hingga malam

Piket kebangsaan NUBE masuk fasa ketiga, berlangsung di Ipoh, Perak selama empat jam sehingga malam semalam..

IPOH: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menegaskan ia tiada pilihan dan terpaksa meneruskan piket kebangsaan dengan fasa ketiga, yang berlangsung di pekarangan HSBC Bank Malaysia di sini semalam atas alasan bank itu tidak ikhlas dan profesonal dalam menyelesaikan aduan-aduan yang difailkan sejak tahun 2019.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, ini kali pertama NUBE berhadapan dengan 300 pertikaian industri yang tidak mahu diselesaikan oleh HSBC Bank Malaysia.

Malah, jumlah itu juga merupakan rekod dalam sejarah kesatuan sekerja di Malaysia, kata beliau.

“NUBE terpaksa mengambil tindakan perhubungan perusahaan ini selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HSBC Bank Malaysia dan CEO semasa tidak mahu mengadakan/memanggil Mesyuarat Jawatankuasa Tetap bagi menangani proses Penyelesaian Pertikaian selaras dengan peruntukan Perjanjian Kolektif (CA).

“Pengurusan HSBC Bank Malaysia enggan menyelesaikan isu-isu yang telah dibangkitkan oleh NUBE sejak tiga tahun kebelakangan ini, dan mencabuli hak dan kepentingan ahli-ahli NUBE kalangan B40 dan M40,” kata beliau dalam kenyataan media dikeluarkan sempena piket kali ini.

Hampir 500 orang menyertai piket empat jam yang berakhir pada jam 9 malam.

Katanya, susulan dua piket yang telah diadakan iaitu di Johor Bahru pada 10 Mac 2022 dan di George Town, Pulau Pinang pada 26 Mac 2022, NUBE telah menyerahkan senarai 300 aduan kepada Jawatankuasa Tetap Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA/NUBE (M/N SC) untuk diambil tindakan.

Solomon berkata, langkah NUBE ini selaras dengan semangat Perjanjian Kolektif di antara NUBE-MCBA dan NUBE-HSBC Bank Malaysia. Malah, perkara ini telah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan Malaysia selepas piket fasa kedua di George Town.

Susulan penyerahan senarai 300 aduan itu, MCBA juga telah menulis surat makluman sebanyak dua kali kepada HSBC Bank Malaysia, tetapi tidak ada respons oleh Bank tersebut. HSBC Bank Malaysia tidak mahu hormat prinsip Perjanjian Kolektif.

“HSBC Bank Malaysia enggan bertindak secara profesional untuk memelihara perhubungan industri yang harmoni untuk mengadakan perbincangan selaras dengan Perjanjian Kolektif.

“Sebaliknya, sikap buruk HSBC Bank Malaysia menunjukkan bank itu tidak jujur dan ikhlas dalam menyelesaikan isu pekerja, sebaliknya mahu melengah-lengahkan proses dialog sosial sejak tahun 2019,” kata beliau.

Dengan mendakwa HSBC Bank Malaysia menggunakan taktik kotor, Solomon berkata, NUBE senantiasa bersikap terbuka untuk menyelesaikan segala isu melibatkan hak dan kepentingan pekerja.

“Malangnya, HSBC bertindak sebaliknya,” kata beliau.

Solomon seterusnya berkata, NUBE tiada pilihan kecuali mengambil tindakan berpiket ini memandangkan HSBC Bank Malaysia telah berulang kali enggan berbincang dengan NUBE, di pelbagai peringkat, di bawah peruntukan semangat perhubungan perusahaan harmoni yang jelas termaktub dalam Perjanjian Kolektif antara NUBE dan HSBC Bank Malaysia, dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967, dan pada masa yang sama, dengan sengaja mengelak daripada berunding untuk mencari penyelesaian ke atas segala aduan dan pertikaian industri yang telah dibangkitkan.

Katanya, sikap hipokrit dan tidak profesional HSBC Bank Malaysia ini, yang tidak menghormati MCBA dan NUBE dalam menyelesaikan 300 pertikaian industri semasa pandemik, adalah melampau dan mencabar kesabaran pekerja-pekerja B40 dan M40.

“NUBE akan terus mengadakan piket sehingga kesemua isu melibatkan HSBC Bank Malaysia diselesaikan,” kata beliau.