Pertemuan bersejarah PM, 3 pemimpin PH, capai persetujuan bersama

25 OGOS 2021: Perdana Menteri dan Pakatan Harapan (PH) hari ini mencapai persetujuan bersama untuk memperkasakan fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesepakatan itu dicapai hasil pertemuan beliau bersama pimpinan utama PH, iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan petang ini, Ismail Sabri yang mengangkat sumpah pada Sabtu lalu berkata: “Saya bersama pemimpin-pemimpin pembangkang juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.”

Pertemuan mereka berlangsung di Pejabat Perdana Menteri lebih satu jam itu.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, kesemua mereka sepakat mencari titik persamaan demi agenda kepentingan rakyat.

Langkah itu tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik COVID-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

Tambah beliau, inisiatif pertemuan itu adalah sebagai menzahirkan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu meredakan suhu politik negara.

Ismail Sabri merupakan Perdana Menteri Malaysia kesembilan, dilantik menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu.