Persatuan Karate Hayashi-Ha Selangor terima pengiktirafan MBOR, rekod ujian tali pinggang hitam

Persatuan Hayashi-Ha Karate Selangor melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan  Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menampilkan bilangan pelatih terbanyak dalam ujian penggredan tali pinggang hitam karate.

SHAH ALAM:  Persatuan Hayashi-Ha Karate Selangor melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan  Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menampilkan bilangan pelatih terbanyak dalam ujian penggredan tali pinggang hitam karate.

Acara bersejarah ini berlangsung di Kompleks Sukan Panasonic di sini dengan melibatkan 429 peserta pelbagai peringkat umur, menandakan satu pencapaian unik dalam komuniti seni mempertahankan diri di Malaysia.

Sesi ujian dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Sukan Jabatan Belia dan Sukan Selangor, Norazreen Sulaiman.

Dalam ucapannya beliau menekankan kepentingan acara ini dalam mempromosikan aktiviti sukan dan seni mempertahankan diri dalam masyarakat.

“Komitmen dan keberanian yang ditunjukkan oleh para pelatih menyerlahkan dedikasi mereka terhadap karate,” kata beliau.

Ketua Jurulatih Persatuan Karate Hayashi-Ha, Thennavan Ponniyah berkata, ini adalah kali pertama acara berskala besar itu dianjurkan.

Menurut beliau, lazimnya, bilangan peserta untuk sesi penggredan tali pinggang hitam tidak lebih 100 orang.

“Penyertaan yang besar kali ini menggambarkan minat yang semakin meningkat terhadap karate sebagai seni mempertahankan diri,” kata beliau lagi.

Thennavan menambah, inisiatif ini bertujuan untuk meraikan pencapaian pelatih yang telah menjalani latihan seni mempertahankan diri.

Sehubungan dengan itu, beliau melahirkan keyakinan bahawa pengiktirafan ini akan menggalakkan lebih ramai golongan muda menyertai karate, memberi manfaat kepada mereka dari segi disiplin, kesihatan dan pembangunan diri.

Usaha untuk mencipta rekod baharu bagi “Percubaan Terbanyak Calon dalam Peperiksaan Penggredan Tali Pinggang Hitam Karate 2024” bermula pada awal Januari tahun ini.

Usaha itu katanya, menekankan komitmen dan dedikasi Persatuan Karate Hayashi-Ha untuk mempromosikan seni mempertahankan diri dalam kalangan generasi muda.

Katanya, acara itu bukan sahaja bertujuan untuk mencipta rekod baru tetapi juga menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran tentang seni mempertahankan diri.

Tambah beliau, Persatuan Karate Hayashi-Ha berharap kejayaan mencipta rekod ini akan menjadi pemangkin kepada peningkatan penyertaan dalam karate di seluruh Selangor dan seluruh negara.

“Inisiatif ini dilihat sebagai langkah positif ke arah memupuk semangat kesukanan dan persaingan sihat dalam kalangan belia.

“Dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Jabatan Belia dan Sukan Selangor, acara ini diharap dapat mengukuhkan lagi kedudukan karate sebagai salah satu sukan utama Malaysia.

“Penglibatan masyarakat amat digalakkan untuk mempertingkatkan majlis berprestij ini,” kata beliau lagi.

Kata beliau, pihaknya juga mempelawa semua orang untuk menyokong usaha mempromosikan karate dan seni mempertahankan diri untuk manfaat generasi akan datang.

“Dengan semangat perpaduan dan kecemerlangan dalam sukan, mereka percaya karate boleh menjadi platform terbaik untuk membina sahsiah dan disiplin dalam kalangan belia Malaysia,”  kata beliau.