Persatuan Golf Remaja Malaysia dan Persatuan Golf Profesional Bangladesh meterai MoU tingkat sukan golf

KUALA LUMPUR: Persatuan Golf Remaja Malaysia (MGJA) dan Persatuan Golf Profesional Bangladesh (BGF) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan pencapaian kedua-dua organisasi dalam bidang sukan golf.

MoU yang memfokus usaha mengeratkan semangat persahabatan dan kerjasama, menggalakkan persefahaman bersama dalam sukan, kebudayaan dan pertukaran kepakaran kakitangan dimeterai pada majlis yang diadakan di Kurmitola Golf Club, Dhaka, Bangladesh, semalam.

Kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, MoU ditandatangani oleh Presiden MGJA, Datuk Sri Dr Irmohizam Ibrahim dan Setiausaha Agung MGJA, Shaiful Azwandy; Presiden Bangladesh Golf Junior, Mejar Jeneral Md Moin Khain; Ketua Pegawai Eksekutif Kurmitola Golf Club, Bangladesh, Kol. (B) Md Shahidul Haque dan Setiausaha Bersama BGF, Mejar Mahmudur Rahman hadir pada majlis menandatangani MoU.

MGJA telah ditubuhkan pada 14 Februari 2022 dengan tujuan untuk mempromosikan sukan golf dalam kalangan belia di Malaysia, mengenal pasti bakat muda dan melatih serta membimbing mereka menjadi pemain golf profesional.

Kenyataan itu berkata, MGJA bekerjasama dengan pelbagai institusi supaya dapat memupuk belia yang lebih cemerlang dalam sukan ini.

BGF telah ditubuhkan pada tahun 2008 sebagai sebuah ‘persatuan’ untuk mempromosikan dan meningkatkan minat dan standard permainan golf dan
memberikan sokongan dan peluang kepada semua pemain golf profesional Bangladesh.

Tambah kenyataan itu, MoU tersebut pastinya akan meningkatkan sukan golf dan memupuk hubungan yang lebih kukuh antara kedua-dua negara kerana MGJA dan BGF akan membentuk kerjasama masa depan terutamanya berkaitan dengan usaha mempromosikan golf di kalangan golongan muda.

“Di samping itu, kedua-dua organisasi akan menganjurkan program latihan pertukaran dan juga kejohanan di Malaysia dan Bangladesh.

“MGJA dan BGF juga berhasrat untuk memberikan impak positif kepada komuniti golf dunia melalui hubungan persahabatan, kerjasama dan sokongan ini,” kata kenyataan itu.

Ia menambah, MGJA dan BGF mengiktiraf kepentingan menyediakan pendidikan dan pengetahuan dalam sukan golf.

Irmohizam berkata, melalui bengkel, seminar dan program bimbingan, kerjasama ini akan melengkapkan pemain golf muda kita dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan tentang sukan ini.

“Adalah penting untuk mereka menggilap kebolehan teknikal mereka dan menguasai cara berfikir yang strategik, menyemai semangat kesukanan, dan disiplin diri pemain,” kata beliauyang juga Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).

Beliau turut menzahirkan kepentingan industri acara perniagaan dalam bidang sukan atau golf khususnya, mampu menjadi tarikan yang menarik untuk orang ramai dan juga peminat-peminat golf di Malaysia dan seluruh dunia.