Perhimpunan Solidariti gesa pencen pesara GLC minimum RM1,000, bayaran ‘one-off’

Sebahagian daripada pesara GLC yang menyertai Perhimpunan Solidariti membantah kadar pencen rendah di Putrajaya hari ini.

KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) dan Kesatuan-kesatuan GLC mencadangkan supaya pencen bulanan pesara agensi dan badan kerajaan yang diswastakan sejak lebih 30 tahun lalu dikaji semula dan ditingkatkan.

Langkah itu, menurut memorandum yang diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon hari ini, perlu dilakukan dengan melaksanakan pencen minimum bulanan RM1,000.

Lebih 300 orang, yang terdiri daripada pesara-pesara GLC, mengambil bahagian dalam Perhimpunan Solidariti Pesara-pesara GLC Pencen Rendah yang diadakan di Putrajaya pagi ini.

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, memorandum telah “diserahkan ke Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kewangan… jutaan terima kami ucapkan kepada semua yang hadir.”

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal (lima dari kiri) mengetuai Perhimpunan Solidariti di Putrajaya hari ini.

Selain itu dicadangkan supaya kenaikan kadar peratusan pencen tahunan ditingkatkan dari dua peratus kepada 10 peratus bagi pesara yang menerima pencen kurang dari RM1,000.

Memorandum itu turut mencadangkan bayaran ‘one-off’ RM1,000 kepada pesara yang menikmati pencen RM1,000 dan ke bawah.

“Sumber kewangan untuk melaksanakan kenaikan kadar pencen diperoleh dari Perbendaharaan Negara melalui Jabatan Perkhidmatan Awam dan penubuhan Kumpulan Wang Amanah Persaraan Pesara Syarikat GLC Yang Diswastakan (KWAPGLC).

“Syarikat-syarikat GLC yang diswastakan terbukti telah berjaya memperoleh keuntungan operasi dan perniagaan dari pelaksanaan dasar-dasar penswastaan negara.

“Pesara agensi dan badan kerajaan yang telah diswastakan wajar diberi pertimbangan untuk bersama berkongsi pencapaian dasar penswastaan negara yang dinikmati syarikat-syarikat GLC,” kata memorandum itu.

Minggu lalu, Shafie berkata, Perhimpunan Solidariti Pesara-pesara Syarikat GLC Pencen Rendah, akan disertai oleh semua persatuan pesara khususnya dari GLC, diadakan untuk meluahkan perasaan tidak puas hati berhubung isu pencen rendah yang diterima oleh pesara-pesara GLC yang telah diswastakan lebih dua dekad lalu.

Kata beliau, walaupun memorandum demi memorandum telah dihantar kepada Kerajaan, namun tiada respons daripada Kerajaan mahupun Kementerian Kewangan.

Katanya, UNI-MLC sendiri telah menghantar sebanyak 10 memorandum dalam tempoh 20 tahun yang lalu, mengharapkan tuntutan mereka akan dipenuhi dan diambil kira dalam setiap pembentangan belanjawan, malangnya tiada penyelesaian yang diharapkan.

Kata beliau, pesara-pesara yang menerima pencen rendah dengan kenaikan dua peratus setiap tahun masih hidup di bawah paras kemiskinan.

“Bayaran pencen rendah yang diterima adalah satu daripada masalah sosial dan ekonomi. Terdapat dalam kalangan pesara perkhidmatan GLC yang tidak mencukupi tempoh 25 tahun menerima pencen serendah RM180 sebulan,” kata beliau.