Perbekas sambut baik pengumuman awal pelarasan gaji, mahu jumpa PM untuk butiran terperinci

Persatuan Bekas Kastam Malaysia (Perbekas), Datuk Abdul Rahman Manan. – Foto ihsan Facebook Ketua Pengarah Kastam Malaysia

KUALA LUMPUR: Persatuan Bekas Kastam Malaysia (Perbekas) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengenai kenaikan dan pelarasan gaji kakitangan awam.

Pada masa yang sama, Presidennya, Datuk Abdul Rahman Manan berkata, pihaknya berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Anwar, yang juga Menteri Kewangan, bagi mendapatkan butiran lanjut termasuk mengenai aspek pelarasan kadar pencen.

Lazimnya semakan gaji kakitangan awam juga akan membawa impak ke atas kadar pencen yang diterima oleh para pesara.

“Pada dasarnya Perbekas mengalu-alukan pengumuman semalam. Bagaimanapun kami tidak dapat mengulas dengan mendalam buat masa sekarang sebab belum ada butiran terperinci.

“Cuma ada pengumuman mengenai kenaikan gaji akan lebih 13 peratus. Jadi Perbekas bersama Pejasma, Persatuan Bekas Pegawai Imigresen, Polis, Fama, Mara dalam lain-lain akan mengkaji dan berhasrat untuk mendapatkan butiran lanjut,” kata beliau yang juga Setiausaha Agung Pejasma.

Abdul Rahman, yang juga bekas Setiausaha Agung Cuepacs, berkata demikian kepada Workers Times Ketika ditanya mengenai pengumuman Perdana Menteri semalam.

Kata beliau, perkara itu turut dizahirkan oleh Presiden Pejasma, Datuk Dr Azih Muda minggu lalu..

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam sebanyak lebih 13 peratus bermula 1 Disember ini

Menurut Anwar, kenaikan itu adalah yang paling tinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negara berbanding kenaikan 13 peratus sebelum ini.

“Sejarah kenaikan paling tinggi sebelum ini, adalah 13 peratus dan tahun ini saya akan umum kenaikan itu lebih tinggi daripada 13 peratus.

“Maka kita akan laksanakan lebih 13 peratus peratus kenaikan mulai 1 Disember tahun ini, sebab saya sudah berjanji,” kata beliau ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan Pekerja Kesuma Bangsa.

Beliau juga memberitahu kenaikan gaji penjawat awam akan melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Ini termasuk pendapatan menyeluruh penjawat awam meliputi gaji dan elaun tetapi mesti melebihi RM2,000 sebulan bermula tahun ini.

“Pada masa ini, jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam sedia ada adalah RM1,795 sebulan.

“Di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan, kerajaan akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan,” katanya.

Anwar menjelaskan kenaikan gaji kepada penjawat awam tertentu bagaimanapun boleh dikecualikan jika tidak menunjukkan prestasi membanggakan.

Hari ini beliau menjelaskan kenaikan gaji penjawat awam kumpulan rendah akan mencecah 20 hingga 40 peratus mengikut perincian sebenar walaupun pengumuman semalam hanya melibatkan kadar kenaikan lebih 13 peratus.

Perdana Menteri berkata, sistem kajian SSPA adalah bersifat lebih munasabah yang mana golongan penjawat awam pangkat tinggi akan naik sedikit, manakala mereka berpangkat rendah pula menikmati banyak kenaikan.

“Ada yang mengaitkan kenaikan kali ini lebih rendah kerana pernah mencecah 35 peratus. Sebab itu saya kata nak kritik boleh tapi sabar dulu, jangan sombong dan angkuh, jangan dengki kerana bila ada pengumuman baik, orang sambut baik, dia mesti cuba berhujah untuk mencemuh.

“Saya nak beritahu kalau tengok perincian keputusan ini sebenanrya bagi kategori rendah kenaikan itu antara 20 dan hampir mencecah 40 peratus bagi kebanyakan penjawat awam.

“Maknanya mereka peringkat rendah naik melonjak tinggi supaya walaupun (kadar gaji minimum) RM2,000 tetapi boleh hidup lebih selesa,” katanya.

Anwar dalam pada itu turut menempelak beberapa pihak tertentu yang menuduh pengumuman kerajaan bagi penjawat awam ini adalah sebagai ‘gula-gula’ Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

“Ini tidak ada kena-mengena dengan PRK KKB, keputusan kita buat awal tahun sebelum ADUN itu meninggal dunia, kemudian pengumuman ini adalah bertahap, pada 1 Mei, pada Hari Pekerja kita umum dasar, kemudian kalau sempat bawa ke Jemaah Menteri.

“Masa perhimpunan penjawat awam (MAPPA) nanti kita umumkan lebih terpenrici dan lengkapnya pada Belanjawan 2025 nanti.

“Tapi sebelum itu saya minta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyantuni semua penjawat awam, pergi ke setiap negeri bincang dan dengar kalau perlukan sedikit sebanyak penyesuaian,” katanya.