Perbekas: Pelantikan jawatan utama perlu utamakan calon ‘layak dan sesuai’

Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis bersama kakitangan awam Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini. Ia ada sesi pertama sejak dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10 Malaysia. – Foto ihsan Astro Awani.

KUALA LUMPUR: Persatuan Bekas Kastam Malaysia (Perbekas) mengucapan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

Presidennya, Datuk Abd Rahman Manan berkata, semoga dengan pelantikan tersebut semua kemelut politik, kemelut ekonomi yang tidak stabil akan selesai demi kehidupan rakyat.

“Perbekas dan Persatuan Bekas Penjawat Awamn & Swasta Malaysia (Pejasma) juga bersetuju dengan pandangan Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat supaya pelantikan ke jawatan-jawatan tertentu hendaklah diberi keutamaan kepada mereka yang benar-benar layak dan sesuai dalam sesuatu bagi menjawat jawatan pengerusi atau lain-lain sepatutnya dan tidak tertumpu kepada ahli-ahli politik sahaja,” kata beliau yang juga Setiausaha Agung Pejasma kepada Workers Times.

Cuepacs berharap kerajaan memberi keutamaan kepada penjawat awam yang berkebolehan dan kompeten untuk mengisi jawatan-jawatan utama dalam perkhidmatan awam.

Adnan berkata, campur tangan politik dalam urusan pelantikan perlu dielakkan bagi membolehkan mereka yang dilantik benar-benar membantu dan dapat memberi nasihat terbaik kepada Jemaah Menteri.

“Unsur-unsur favouritism juga hendaklah dielakkan terutama dalam hal lantikan jawatan tertinggi kerana ia boleh menjejaskan operasi perkhidmatan awam sekiranya mereka yang dilantik itu tidak kompeten,” katanya dalam kenyataannya semalam.

Beliau berkata pegawai yang dilantik hanya disebabkan “kegemaran” ahli politik tertentu, dibimbangi tidak boleh melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan terutama dalam memberi nasihat terbaik kepada menteri berkenaan.

Adnan berkata Cuepacs pada dasarnya tidak mempunyai masalah bagi lantikan politik yang mempunyai kelayakan, namun bagi memastikan kelancaran sesuatu jabatan sekiranya terjadi peralihan kerajaan, adalah lebih baik lantikan dibuat dalam kalangan anggota penjawat awam sahaja.

“Mereka yang dilantik berdasarkan politik akan meletak jawatan atau dipaksa melepaskan jawatan apabila suatu kerajaan itu berubah.

“Ini boleh menjejaskan perkhidmatan kerajaan dan menimbulkan persepsi kurang baik terhadap perkhidmatan kerajaan sedia ada,” kata beliau.