
KUALA LUMPUR: Persatuan Bekas Kastam Malaysia (Perbekas) dan Persatuan Bekas Penjawat Awam dan Swasta Malaysia (Pejasma) menyambut baik keputusan kerajaan untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2025 sebanyak RM250 kepada pesara.
Presiden Perbekas dan Pejasma, Datuk Abdul Rahman Manan berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman yang dibuat itu.
Bagaimanapun kata beliau, Pejasma memohon pertimbangan khas supaya bekas kakitangan Bank SImpanan Nasional (BSN) yang masih belum diberi taraf pencen, turut diberi insentif itu.
“Meskipun kerajaan meluluskan RM250 berbanding RM350, kami menyambut baik keputusan kerajaan,” kata beliau kepada Workers Times.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kakitangan kerajaan akan menerima BKK RM500 manakala RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.
Insentif itu adalah bagi kakitangan Gred 15 ke bawah (Skim Saraan Perkhidmatan Awam) dan Gred 56 ke bawah (Sistem Saraan Malaysia).
Anwar juga mengumumkan bahawa guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dan takmir, imam, bilal, tok siak serta noja dan marbot masjid seluruh negara akan menerima BKK Aidilfitri RM250.
Dua hari lalu, Abdul Rahman memohon agar bantuan Aidilfitri sebanyak RM350 diberikan kepada pesara kerajaan Gred 56 dan ke bawah sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilftri.
“Seperti mana kita semua maklum, rata-rata pesara Gred 56 ke bawah khasnya Gred 1- 40, tidak mempunyai pendapatan sampingan selain pencen bulanan.
“Perbekas dan Pejasma yakin bahawa Kerajaan Malaysia Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar yang begitu perihatin terhadap rakyat akan memberi perimbangan yang sewajarnya.
“Semoga Perdana Menteri dan Menteri Kewangan akan membuat penguman tidak berapa lama lagi,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bayaran kali ini akan membabitkan implikasi kewangan RM900 juta yang memanfaatkan dua juta penjawat awam dan pesara.
“Kerajaan berharap pemberian bantuan ini dapat meringankan beban kewangan penjawat awam serta pesara dan menjadi pemangkin untuk berkhidmat penuh dedikasi,” kata beliau.