Peperiksaan pada Sabtu tidak wajar, MP Tuaran fail semula usul gesa KPM semak jadual

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menggesa Kementerian Pendidikan menjadualkan semula peperiksaan pada 19 Februari 2022, yang jatuh pada hari Sabtu, semasa sidang media di bangunan Parlimen Khamis lalu.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menggesa Kementerian Pendidikan supaya menjadualkan semula peperiksaan pada 19 Februari 2022, yang jatuh pada hari Sabtu, sebagai tanda menghormati pelajar-pelajar yang menunaikan tanggungjawab agama mereka.

Sehubungan dengan itu, beliau telah memfailkan semula usul di Dewan Rakyat pada Khamis selepas usul yang dikemukakan sehari sebelum itu ditolak oleh Speaker Tan Sri Azhar Azizan Harun.

“Carilah tarikh lain pada hari Isnin hingga Khamis. Kenapa mesti dibuat pada hari Sabtu kan itu hujung minggu? (Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan) NUTP pun sudah mengatakan tolong jangan buat pada hujung minggu. Guru-guru pun mahu bersama-sama keluarga juga,” kata beliau sidang media di bangunan Parlimen.

Pautan klip video sidang media yang diadakan pada Khamis lalu.

Beliau yang juga Presiden UPKO berkata, perkara ini sangat serius kerana dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah disebutkan dengan jelas mengenai keperluan membina insan yang seimbang dari segi rohani, jasmani, dan intelek. 

“Dan asas utama ialah kepatuhan kepada Tuhan. Maknanya pendidikan kita ini berasaskan kepada kepatuhan Tuhan. Selain daripada itu (kita ada) lima prinsip Rukun Negara dan prinsip pertama ialah Kepercayaan Kepada Tuhan. 

“Tetapi kenapa pula Kementerian tidak ambil perhatian (perkara) ini? Kenapa halang pelajar-pelajar ini (daripada tuntutan agama mereka),” kata beliau sambil mengesyorkan supaya tarikh peperiksaan diubah ke hari yang lebih sesuai.

Beliau juga mengesyorkan jangan diadakan peperiksaan pada hari Jumaat.

“Kalau dia letak pada 17 hari bulan, hari Khamis pun okay.  Jangan buat (pada hari) Jumaat, Jumaat itu orang Islam pergi sembayang. Jangan buat pada hari Jumaat, jangan buat pada hari Sabtu, dan jangan buat pada Ahad. Isnin boleh, Selasa boleh, Rabu boleh dan Khamis boleh. Banyak pilihan,” kata beliau lagi.

Madius menambah, “kenapa perkara yang senang, yang boleh menyatupadukan kita, dibuat dan ada perasaan tidak seronok?”

Justeru itu, beliau meminta supaya semua pihak faham isu tersebut dan seterusnya mencari penyelesaikan muktamad.

Pada 18 Oktober lalu, Kementerian Pendidikan telah mengumumkan jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sesi 2021, iaitu akan diadakan bermula 19 Februari 2022 dan selesai pada 19 Mac.

Antara perkara yang dipertikaikan dalam jadual yang telah diumumkan oleh kementerian ialah peperiksaan juga diadakan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu tiada peperiksaan pada Sabtu dan Ahad kerana guru-guru juga perlu berehat. Selain itu, bantahan juga dibuat oleh gereja Seventh Day Adventist (SDA), mazhab dalam gereja Kristian yang begitu tegas di mana aktiviti-aktiviti ibadah dan kebajikan dibenarkan atau digalakkan.

Mengikut amalan SDA, pengikutnya mesti berada di rumah atau di gereja.

Madius berkata perkara itu sudah lama menjadi isu kerana peperiksaan SPM, UPSR, PMR dan juga STPM pernah dijadualkan pada hari Sabtu. 

Dan oleh kerana dijadualkan pada hari Sabtu, maka pelajar-pelajar dari gereja SDA rela untuk gagal dalam peperiksaan daripada mengambilnya kerana mematuhi tuntutan agama.

Oleh itu kata beliau, pada kali ini, apabila jadual peperiksaan SPM ini diumumkan, pihak gereja juga telah membuat rayuan kepada Kementerian Pendidikan dan telah pun menghantar rayuan tersebut. 

Madius berkata, beliau juga telah membuat kenyataan dan berbahas banyak kali termasuk peringkat jawatankuasa Kementerian Perpaduan Negara, termasuk Kementerian Pendidikan tetapi kedua-dua kementerian itu langsung tidak ada jawaban malahan tidak memberi sebarang ulasan.

“Namun syukur baru-baru ini telah diumumkan jadual peperiksaan SPM yang baru. Dan jadual itu, kecuali pada 19 Februari 2022 yang jatuh pada hari Sabtu, yang lain-lain itu tidak ada sudah peperiksaan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. 

“Kita berterima kasih kepada kementerian kerana telah mendengar keluhan-keluhan, rintihan dan juga tuntutan-tuntutan daripada pelbagai pihak dan akhirnya ada jadual baru. 

“Tetapi yang menghairankan, kenapa peperiksaan untuk ujian mendengar Bahasa Malaysia dan ujian Mendengar Bahasa Inggeris masih dijadualkan pada hari Sabtu iaitu pada 19 Februari 2022. Perkara ini yang menjadi persoalan,” kata beliau.