KUALA LUMPUR: Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menjelaskan bahawa syarikat itu tidak mempunyai kuasa untuk menaik atau meluluskan tarif elektrik di Sabah.
Beliau berkata selepas Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Elektrik 2024 diluluskan oleh persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, kuasa menentukan perkara berkaitan tarif elektrik terletak pada Jemaah Menteri Kerajaan Sabah atas cadangan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).
Madius berkata sebelum RUU itu diluluskan, hal ehwal berkaitan tarif elektrik di Sabah ditentukan oleh kerajaan persekutuan sebelum dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).
“Saya melihat masih ramai yang keliru dengan perkara ini sehingga ada pelbagai pihak yang marah dengan SESB dan semasa persidangan khas DUN hari ini juga memperlihatkan masih ramai wakil rakyat yang tidak faham tentang hal ini.
“SESB berperanan sebagai sebuah syarikat utiliti yang berniaga membekalkan elektrik kepada pengguna… SESB hanya melaksana segala yang telah diluluskan berdasarkan apa yang dikawal selia dan dikuatkuasakan,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan malam tadi, beberapa jam selepas DUN Sabah meluluskan tiga RUU.
Sidang khas DUN Sabah i meluluskan tiga RUU berkaitan pengambilalihan kuasa kawal selia tenaga dan bekalan elektrik oleh kerajaan negeri daripada Kerajaan Persekutuan.
RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024, RUU Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 dan RUU Bekalan Elektrik 2024 itu diluluskan dengan suara terbanyak.
Madius juga berkata sehubungan itu, SESB tidak seharusnya dipersalah apabila ST pada 26 Dis lepas memaklumkan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun tahun ini di Sabah dilaksanakan di bawah mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Berimbang (ICPT).
“Keputusan pelarasan tarif ICPT itu di luar bidang kuasa SESB,” katanya.
ICPT merujuk kepada mekanisme yang diluluskan kerajaan dan dikawal selia oleh ST di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) bagi membolehkan kos bahan api diselaras setiap enam bulan berdasarkan turun naik harga global.
Melalui pelaksanaan ICPT, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik sebanyak 1,500 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah tidak akan dikenakan sebarang surcaj.
Pengguna domestik dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj akan dikenakan surcaj pada kadar 7.21 sen/kWj manakala pengguna bukan domestik dikenakan surcaj pada kadar 7.21 sen/kWj.