Pengerusi Puncak Niaga sedia tanding PRU, tubuh parti buruh wakili peneroka Felda

Tan Sri Rozali Ismail menzahirkan hasrat menyertai bidang politik melalui penubuhan parti baharu bagi mewakili generasi peneroka terutamanya penduduk Felda.

KUALA LUMPUR: Tokoh korporat terkenal, Tan Sri Rozali Ismail menzahirkan hasrat menyertai bidang politik melalui penubuhan parti baharu bagi mewakili generasi peneroka terutamanya penduduk Felda.

Beliau berkata, hasrat itu timbul selepas mesyuarat agung tahunan Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF) semalam.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings itu berkata, pada majlis itu telah diusulkan untuk GWGF mengkaji bagi menubuhkan parti Keluarga Felda Se-Malaysia yang akan menjadi suara dan naungan kepada masyarakat peneroka.

“Justeru, usul itu akan dibawa ke majlis tertinggi pengurusan GWGF minggu depan kerana kita mempunyai 17 persatuan di bawah GWGF bagi membincangkan dengan teliti sama ada usul ini dapat dilaksana bagi kebaikan masyarakat Felda dan golongan buruh di Malaysia,” kata beliau dipetik BERNAMA.

Jelas Rozali, parti yang dicadangkan itu lebih kepada berdasarkan parti buruh.

Ini kerana katanya, majoriti penduduk Felda adalah golongan buruh dan penubuhannya bermatlamat untuk membela generasi buruh yang rata-ratanya berpendapatan rendah dan sederhana.

“Jadi, saya rasa masalah dihadapi generasi Felda hari ini disebabkan banyak program yang dilaksanakan tidak menepati sasaran, seperti penyenaraian Felda yang gagal, cadangan penubuhan Felda sebagai Bank Makanan pun tidak terlaksana, malah pelaburan beratus juta ringgit di luar negara juga gagal,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, terma dan syarat perjanjian tanam semula yang berat sebelah serta masalah buruh yang membebani masyarakat Felda gagal ditangani dengan baik menjadi titik tolak GWGF menubuhkan parti baharu bagi mewakili suara masyarakat peneroka.

Rozali berkata, sebanyak 54 kawasan Parlimen merupakan kawasan yang majoriti pengundi adalah masyarakat Felda.

“Dan, saya sebagai Presiden GWGF diminta untuk bertanding terutama di kawasan yang saya telah bangunkan iaitu Felda Bukit Cerakah di Kuala Selangor yang kini dikenali sebagai Bandar Baru Puncak Alam,” kata beliau.

Pada September 201, Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad mencabar supaya presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) Tan Sri Rozali Ismail meletakkan jawatan dan bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Cabaran itu disuarakannya hari ini, berikutan tindakan Rozali mengkritik pemimpin Pakatan Rakyat di sebuah majlis berbuka puasa yang turut dihadiri sultan Selangor.

Dua tahun kemudian, Rozali pernah melahirkan kesediaan untuk menjadi calon pada pilihan raya umum ke-13 jika diminta berbuat demikian.

“Jika mereka mahu saya bertanding dan jika mereka fikir saya boleh menang, saya akan pertimbangkan,” kata beliau merujuk kepada kemungkinan akan menjadi calon Barisan Nasional (BN).