KUALA LUMPUR: Pengarah Media dan Komunikasi Strategik kepada Perdana Menteri, Rozaid Abdul Rahman meninggal dunia kerana masalah jantung di kediamannya di Putra Heights, Subang Jaya, semalam.
Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Bahagian Media dan Komunikasi Stratehik Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, “PMO dengan dukacita memaklumkan bahawa Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Strategik di PMO, Rozaid Abdul Rahman telah meninggal dunia pada petang tadi (smalam) kerana masalah jantung.”
“Allahyarham yang berusia 59 tahun telah menerima rawatan di Hospital Serdang sejak 1 Julai lalu dan telah dibenarkan keluar dari hospital pada 6 Ogos lalu,” katanya.
Allahyarham dilantik menjawat tugasan tersebut pada 23 Mei 2023.
“Pejabat Perdana Menteri mendoakan agar keluarganya diberi kekuatan dan ketabahan, dan diampunkan segala dosa Almarhum serta diberi tempat istimewa di sisiNya,” kata kenyataan itu lagi
Rozaid juga pernah memegang jawatan sebagai Pengarang Bersekutu Kumpulan Media The Star dan kemudian sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian.
Beliau memulakan kerjayanya sebagai pemberita kadet di Utusan Malaysia pada April 1984.
Selain itu, Rozaid juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan selepas itu Menteri Pengajian Tinggi.