Oleh Dr. Siti Hamisah Tapsir
PANDANGAN: Kita kini di ambang tahun baharu. Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah membetulkan analisis yang menyatakan lebih 72 peratus pelajar memilih untuk tidak melanjutkan pengajian selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Isu kurangnya minat pelajar untuk melanjutkan pengajian peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) dalam pelbagai jurusan, khususnya Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menjadi isu hangat sehingga menjadi polemik dan tertubuhnya beberapa agensi, badan bukan kerajaan serta pelbagai jawatankuasa untuk menangani perkara tersebut.
Dapatan itu muncul ketika ekonomi Malaysia terjejas teruk susulan pandemik COVID-19. Kebanyakan warga muda keluar mencari kerja untuk menambah pendapatan keluarga yang terjejas dan melupakan niat untuk ke menara gading. Bagi yang masih mampu merasakan tidak berbaloi untuk membazir masa, wang dan tenaga untuk belajar selama bertahun-tahun kalau mereka boleh meraih pendapatan. Ramai juga yang merasakan belajar ialah sesuatu yang sia-sia apabila dibandingkan gaji lepasan SPM dan graduan hampir sama. Ini membuat mereka merasa lebih tidak yakin akan keperluan untuk meneruskan pengajian kerana masa depan tidak lagi terjamin dengan segulung ijazah.
Ini adalah satu perkara yang sangat menggelisahkan kerana isu ini akan merugikan Malaysia yang perlu terus berusaha untuk menjadi negara maju yang kompetitif untuk selari dengan perkembangan global, lebih-lebih lagi dalam era Revolusi Industri ke-4 yang mempunyai permintaan tinggi dari pendidikan dalam bidang STEM.
Pendidikan formal juga penting dalam pembangunan sumber manusia. Meskipun pekerjaan seperti e-hailing dan perniagaan atas talian boleh memberi pendapatan yang memadai dalam jangka masa pendek, namun tidak terdapat sebarang kemajuan kerjaya dan peluang kenaikan pangkat serta gaji bagi jangka masa panjang.
Oleh itu, isu ini perlu diberi perhatian serius.
Selain di bawah tanggungjawab penggubal strategi dan polisi nasional, seharusnya IPT dan kementerian-kementerian berkaitan harus berganding bahu dan bekerjasama untuk mengambil inisiatif dalam penambahbaikan sistem pengajian tinggi untuk mendorong anak muda Malaysia untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat menara gading. Warga muda perlu diberikan pendedahan kepada bidang-bidang yang membolehkan mereka mempunyai kerjaya sebagai saintis perkomputeran, pembangun perisian dan penganalisa pengekodan sejajar dengan keperluan dunia digital yang sedang berkembang pesat di seantero dunia.
Langkah pertama yang perlu diutamakan ialah memupuk minat ke arah bidang STEM dari usia muda, bermula dari peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah.
Pengukuhan pendidikan STEM mampu mengubah minda masyarakat terhadap kepentingan pendidikan sains yang merupakan teras ketamadunan manusia sejagat. Penyediaan platform yang sewajarnya di peringkat sekolah rendah mahupun menengah boleh menjadi perangsang untuk pelajar-pelajar mula meneroka minat mereka dalam bidang STEM melalui penganjuran pameran sains atau pun pertandingan mereka cipta. Ini adalah salah satu usaha untuk menyampaikan ilmu secara tidak formal dan sekali gus menerap minat pelajar terhadap sains.
Demi menarik minat lebih ramai warga muda, pihak-pihak terlibat seperti sekolah, pendidik, dan kementerian juga seharusnya menggunakan platform-platform yang digunakan secara meluas di serata dunia. Aplikasi seperti TikTok, Instagram dan Snapchat mempunyai daya tarikan tersendiri yang berjaya menarik minat kalangan pengguna muda untuk meluangkan masa mereka yang banyak secara harian. Dari memberi tentangan kepada anak-anak dan memaksa mereka untuk meninggalkan sesuatu yang sudah sebati dalam jiwa mereka, sewajarnya, kita menggunakan aplikasi ini untuk kelebihan kita. Semarakkan minat terhadap sains melalui reels ataupun video-video pendek yang bersifat kasual dan lebih menyeronokkan. Dengan cara yang betul dan menarik, anak-anak muda ini akan merasa terpanggil untuk berkongsi dengan saluran media sosial mereka sendiri lalu menambah kepada kesedaran tentang kepentingan mengeruskan pelajaran di peringkat menara gading.
Menurut data Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), lebih 70 peratus penyelidik dalam STEM adalah lelaki dan wanita pula kurang dari 30 peratus. Walaupun bilangan wanita dalam bidang STEM di Malaysia lebih tinggi dari negara-negara lain, namun menurut laporan Akademi Sains Malaysia 2018, bilangan penyelidik wanita dalam bidang STEM adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan penyelidik lelaki terutamanya dalam bidang ‘Business Enterprise”. Oleh itu penglibatan wanita dan lelaki dalam STEM perlu diperhebatkan melalui pelbagai usaha seperti negara-negara maju yang lain. Selain itu, program seperti kem sains khas untuk remaja boleh diperbanyak dengan harapan mereka merasa lebih selesa dan tidak terhalang untuk mengeksplorasi dunia sains.
Program-program yang disediakan oleh institut pengajian tinggi sama ada sepenuh atau separuh masa, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) dan kelayakan-kelayakan mikro (micro-credentials) wajar dikemas kini agar ia mengekori edaran semasa dan minat golongan remaja pada masa kini.
Tawaran jurusan-jurusan yang memerlukan kemahiran STEM pasti akan memikat golongan muda yang cenderung ke bidang gaming, coding, teknologi realiti maya ataupun VR technology sewajarnya diperbanyakkan. Institusi-institusi pengajian tinggi patut lebih fleksibel dalam cara penyampaian pelajaran dengan menggalakkan hybrid-learning, menyertakan gamifikasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P), menyemak semula kos dan tempoh pembelajaran bagi jurusan-jurusan yang ditawarkan untuk mengelakkan bakal pelajar merasa terbeban dan tawar hati untuk meneruskan pengajian mereka.
Sama ada belajar secara maya, fizikal atau meta-verse, secara formal atau tidak formal, yang penting ilmu di dada perlu ditambah, dikembangkan dan dimanfaatkan bukan sahaja untuk diri sendiri dan keluarga malah untuk masyarakat dan umat sejagat demi memastikan kemakmuran, kesejahteraan dan kelestarian bumi kita berpijak.
Minat untuk melangkah ke IPT dan memperoleh ilmu dengan lebih mendalam dalam kalangan generasi muda perlu disemai dan diperdalamkan demi masa depan negara.
Selamat tahun baharu 2023.
Prof Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir ialah Presiden Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) dan Naib Canselor Universiti UCSI