Pendapatan pelaburan KWSP naik 3%, cecah lebih RM15 bilion

KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan RM15.16 bilion untuk suku pertama tahun 2022.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan RM15.16 bilion untuk suku pertama tahun ini, mengalami peningkatan tiga peratus daripada RM14.77 bilion yang dicatatkan dalam suku tahun yang sama pada 2022.

Jumlah ini adalah selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk suku berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, walaupun terdapat pelbagai cabaran dalam suku tahun pertama 2023 seperti gangguan rantaian bekalan yang berterusan dan ketidakstabilan sistem kewangan, termasuk kejatuhan Silicon Valley Bank dan Signature Bank di Amerika Syarikat (AS), KWSP berjaya mengekalkan prestasi yang konsisten sepanjang suku tahun itu.

Amir Hamzah menjelaskan, prestasi itu susulan perkembangan ekuiti global yang mencatatkan keuntungan kukuh dalam tempoh pelaporan berikutan jangkaan berlakunya kemelesetan yang semakin berkurangan dalam pasaran maju serta keyakinan terhadap pembukaan semula ekonomi China.

Katanya, walaupun KWSP mencatatkan pulangan positif setakat tahun ini, keadaan pasaran kewangan masih tidak menentu, dengan ketegangan geopolitik dan inflasi yang tinggi terus menjadi kebimbangan bagi pasaran utama di seluruh dunia.

“Sebagai tindak balas kepada situasi ini, KWSP telah menumpukan strategi portfolionya ke arah syarikat yang berdaya tahan dan mempunyai asas kukuh yang membolehkannya untuk memberikan dividen yang stabil,” kata beliau.

Pada suku pertama 2023, pendapatan daripada ekuiti meningkat kepada RM8.96 bilion, selepas mengambil kira turun nilai kos, berbanding RM8.75 bilion yang dicatatkan pada suku pertama 2022.

Kelas aset ini kekal sebagai penyumbang pendapatan tertinggi pada 59 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.