KUALA LUMPUR: Pekerja-pekerja pembersihan Hospital Bahagia Ulu Kinta mengadakan tindakan berpiket di hadapan hospital tersebut semalam, menggesa majikan mereka, Edgenta UEMS supaya menghentikan segala penindasan terhadap pekerja-pekerja pembersihan dan membaiki keadaan kerja untuk semua pekerja perkhidmatan sokongan termasuk kenaikan gaji sewajarnya.
Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia, M. Sarasvathy berkata, tindakan itu diambil berikutan siri masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja pembersihan di Hospital Bahagia Ulu Kinta masih berterusan walaupun pelbagai aduan sudah dibuat dan pihak majikan enggan mengambil tindakan untuk menyelesaikannya.
Kontrak perkhidmatan pembersihan di hospital-hospital kerajaan di negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis telah diambil alih oleh Edgenta UEMS Sdn. Bhd. yang merupakan subsidiari kepada syarikat berkaitan kerajaan, UEM Edgenta pada 1 Januari 2020.
Kata beliau, sejak itu pekerja-pekerja pembersihan, termasuk pekerja-pekerja di Hospital Bahagia Ulu Kinta menghadapi pelbagai masalah daripada pihak syarikat.
“Edgenta UEMS masih enggan menyelesaikan masalah-masalah berkenaan sehingga hari ini walaupun banyak aduan telah dibuat,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan menerusi FB semalam.
Kata beliau, aatara masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja pembersihan yang diupah oleh Edgenta UEMS termasuklah kenaikan gaji bagi tahun 2021 yang tidak adil dan diberi secara pilih kasih, tiada bayaran bonus kepada pekerja, pekerja tidak diberikan elaun-elaun seperti elaun dobi, elaun kedatangan dan elaun syif, tiada peningkatan jumlah hari untuk cuti tahunan, cuti umum dikurangkan dari 15 hari kepada 11 hari, faedah perubatan dikurangkan daripada RM1,000 kepada RM200, pembekalan pakaian seragam yang tidak mencukupi, pemberian sagu hati secara pilih kasih dan hanya berdasarkan penilaian prestasi yang dibuat secara sewenang-wenangnya, pilih kasih dalam pemberian kerja lebih masa (OT), dan tiada elaun COVID-19 kepada pekerja-pekerja pembersihan yang bekerja setiap hari di wad COVID-19.
Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia, M. Sarasvathy berkata, pihaknya
Menurut Sarasvathy, kesatuan berpandangan bahawa kenaikan gaji dan pemberian sagu hati yang berdasarkan Penilaian Prestasi merupakan tindakan yang berat sebelah dan pilih kasih.
“Kenaikan gaji hanya sebanyak RM30 adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Kerana ia amat rendah sedangkan Edgenta UEMS mempunyai kemampuan untuk membayar gaji yang lebih tinggi kepada semua pekerjanya,” kata beliau.
Tambah beliau, kenaikan gaji ini boleh dibuat dengan lebih adil dan bukannya hanya berdasarkan penilaian prestasi yang dibuat secara sewenang-wenangnya yang bermungkinan dimanipulasi oleh pihak yang membuat penilaian.
Katanya, walaupun kesatuan telah menghantar surat aduan kepada Edgenta UEMS beberapa kali tetapi pihak syarikat Edgenta UEMS masih enggan menyelesaikan masalah-masalah yang dibangkitkan oleh pekerja-pekerja.
“Edgenta UEMS memberikan alasan bahawa kenaikan gaji dan bonus adalah hak mutlak pengurusan dan perkara berkenaan dibuat berdasarkan penilaian prestasi kerja individu.
“Kesatuan mempertikaikan tindakan syarikat ini kerana penilaian sebegini boleh menjadi berat sebelah dan mewujudkan diskriminasi terhadap pekerja yang tidak disukai oleh penyelia-penyelia yang membuat penilaian,” kata beliau.
Oleh itu, katanya, pekerja-pekerja mengambil keputusan untuk mengadakan tindakan perusahaan, dengan cara berpiket, untuk mempertahankan hak mereka dan menyuarakan tuntutan mereka.
Sarasvathy berkata, “pekerja berpiket hari ini kerana Edgenta UEMS masih meminggirkan pekerjanya dan mengabaikan kebajikan pekerja yang berhadapan dengan risiko yang tinggi pada ketika pandemik ini.
“Edgenta UEMS seharusya bersikap secara profesional, proaktif dan bertanggungjawab, dengan mengadakan perbincangan dengan kesatuan demi mencari penyelesaian bagi masalah-masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja di Hospital Bahagia Ulu Kinta dengan kadar segera bagi menjamin keharmonian industri,” tambah beliau.