KUALA LUMPUR: Persatuan Bekas Penjawat Awam dan Swasta Malaysia (Pejasma) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa anggota sektor awam yang bersara 2012 akan dibayar pencen ikut kadar masa itu.
Bagaimanapun Setiausaha Agungnya, Datuk Ab Rahman Manan berkata, kenyataan itu kurang jelas sebab tahun 2012 dan sebelum itu tidak ada ada kadar kenaikan pencen kerana tiada semakan gaji bagi anggota sektor awam.
“Kerajaan membuat pindaan Akta Pencen 1980 dengan memberi purata kenaikan dua peratus setiap tahun tetapi dibatalkan oleh keputusan Mahkamah Persekutuan.
“Pejasma berharap pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat mengeluarkan satu pekeliling yang dapat menerangkan dengan jelas semua pesara dapat memahami apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri menguntungkan semua pihak… sebab ketika ini banyak kekeliruan yang timbul,” kata beliau kepada Workers Times.
Pada 12 Julai lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai hingga Disember tahun ini dibayar menggunakan amaun pencen asal.
Kata beliau, keputusan itu selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jun lalu.
“Kerajaan mengambil maklum akan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun 2023 yang memutuskan bahawa Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 [Akta A1447] tidak sah dan undang-undang sebelum pindaan adalah terpakai dengan sendirinya bagi tujuan penyelarasan pencen,” katanya.
Beliau berkata, amaun pencen asal adalah mengikut tafsiran iaitu pegawai awam yang bersara sebelum 2013, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun Disember 2012.
“Bagi pegawai awam yang bersara mulai 2013 pula, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara,” katanya.
Anwar berkata, perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal terus dibayar dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan sebagai Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP)
Dua hari lalu, Anwar berkata, implikasi kewangan berjumlah RM1.3 bilion untuk bayaran pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai hingga Disember 2023 menggunakan amaun pencen asal dimasukkan dalam peruntukan kewangan Belanjawan 2023 dan bukannya amaun tambahan.
“Jumlahnya RM1.3 bilion tetapi memang masuk dalam belanjawan tahun ini,” katanya.
Anwar berkata amaun pencen asal dibayar dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan elaun Madani dengan memberi pertimbangan atas khidmat pesara sebagai penjawat awam dahulu.