NUBE sokong pendirian kerajaan, bertegas ‘guna dana KWSP setiap kali bencana bukanlah cara bijak’

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), J. Solomon.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) mengalu-alukan ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kewangan, Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memutuskan untuk tidak membenarkan pengeluaran lanjut simpanan dari badan berkanun itu meskipun didesak oleh ahli-ahli politik tertentu.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib mangsa banjir tetapi menggunakan dana persaraan pekerja ketika setiap bencana bukanlah pendekatan bijak.

“Pandangan yang diterima umum bahawa kerajaan, di peringkat persekutuan dan negeri, bertanggungjawab untuk memastikan ketersediaan keperluan asas yang mencukupi dan pengagihannya tepat pada masanya, untuk meringankan kesengsaraan yang dihadapi oleh mangsa banjir.

“Ia amat kritikal sekarang, di tujuh buah negeri yang dilanda banjir baru-baru ini,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Oleh itu, kata Solomon, NUBE berpandangan bahawa skim dan insentif yang diumumkan oleh Perdana Menteri boleh membantu mangsa banjir dan jika tidak mencukupi, kerajaan perlu menambah peruntukan sumbernya dengan sewajarnya.

“Tetapi untuk taksub menggunakan dana KWSP semasa setiap bencana adalah tanda kerajaan tidak cekap dan malangnya ahli-ahli politik yang membuat desakan merupakan mereka dari kerajaan yang memerintah,” kata beliau.

Menurut Solomon, ahli-ahli politik ini perlu sedar bahawa tabung persaraan pekerja telah merosot dengan ketara akibat pengeluaran yang dibuat dalam dua tahun lepas akibat wabak Covid-19.

Jelas beliau, KWSP telah memberikan statistik yang mencukupi mengenai status simpanan persaraan pekerja selepas pelbagai pengeluaran diluluskan di bawah skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

“Ini membawa kepada sejumlah besar pencarum, sebahagian besarnya dari kumpulan B40, sangat terdedah kepada kesukaran apabila bersara.

“Agak mengejutkan seramai 28% atau 3.6 juta ahli mempunyai kurang dari RM1,000 dalam simpanan mereka.

“Malangnya, ramai pencarum yang berada dalam keadaan menyedihkan itu merupakan komuniti yang UMNO wakili,” kata beliau sambil menambah, “kita perlu menerima hakikat bahawa kekurangan simpanan yang mencukupi juga, antara lain, disebabkan oleh ketiadaan kenaikan gaji yang baik selama beberapa dekad, dan khususnya, kekurangan gaji sara hidup yang baik.”

Kerajaan UMNO selama lebih 60 tahun telah gagal untuk menaikkan gaji pekerja yang setanding dengan Singapura dan negara-negara jiran yang lain, yang sama ada berada di belakang kita atau seiring dengan kita pada satu masa dulu. Bagi rakyat Malaysia, zaman kemakmuran yang tiada tandingan ini menyebabkan kepincangan sosial yang besar.

Beliau seterusnya berkata, kekurangan iltizam politik untuk memerangi rasuah institusi telah membawa kepada tahap rasuah yang semakin teruk dan membimbangkan.

“Penyakit barah ini telah menafikan bahagian mereka yang saksama daripada kekayaan negara.

“Undang-undang buruh yang tidak adil telah menghalang pekerja dan kesatuan sekerja daripada menuntut bahagian pendapatan buruh yang adil daripada keuntungan. Pada masa yang sama, GLC dan GLIC tidak menjadi contoh dalam mempromosikan gaji sara hidup yang baik,” kata beliau lagi.

Tambah memburukkan keadaan, penyelewengan dana kedaulatan Malaysia oleh pemimpin tertentu, telah membantutkan pertumbuhan pendapatan rakyat biasa, yang diperlukan semasa bencana seperti sekarang, kata beliau.

Oleh itu, katanya, NUBE berharap kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri tidak akan mengulangi kesilapan-kesilapan sebelum ini dan akan menyediakan pelan tindakan segera untuk gaji sara hidup yang baik bagi pekerja supaya mereka akan mempunyai simpanan yang mencukupi semasa kecemasan dan simpanan persaraan yang sesuai demi perlindungan sosial.

“NUBE menyokong pendirian Datuk Seri Ismail Sabri dan berharap beliau akan tegas mempertahankan keputusannya demi kesejahteraan para pencarum dalam jangka masa panjang.

“NUBE berharap parti beliau tidak akan tunduk kepada tekanan politik popular jangka pendek dan meninggalkan pekerja-pekerja dalam kesusahan dalam jangka panjang. Tindakan tunduk kepada tekanan akan menyebabkan masalah sosial yang teruk, dan kita sudah melihat tanda-tanda sedemikian,” kata beliau lagi,

Solomon berkata, NUBE mengiktiraf beberapa dasar baik yang UMNO perkenalkan semasa mereka menjadi rakan gabungan pemerintah utama, tetapi mendesak agar KWSP membenarkan pengeluaran secara berterusan, walaupun untuk mangsa banjir, adalah tidak berfaedah jika parti itu ingin berkhidmat kepada rakyat dengan ikhlas selepas persembahan buruk dalam pilihan raya umum lalu.

“Bagi mendapatkan semula kredibiliti, parti itu sepatutnya menggesa kerajaan menggunakan sumbernya untuk memberi bantuan tulen kepada mangsa banjir dan merapatkan jurang ketidaksamaan yang luas yang wujud sepanjang 60 tahun pentadbiran mereka,” tambah beliau.