NUBE piket Khamis ini bantah HSBC Bank libatkan 300 pertikaian industri

NUBE mengadakan tindakan berpiket di Ipoh, Perak tiga tahun yang lalu.- Foto ihsan NUBE

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) akan mengadakan piket kebangsaan di seluruh Semenanjung Malaysia mulai minggu ini sebagai tanda protes terhadap sikap tidak adil, tidak profesional dan diskriminasi HSBC Bank Malaysia Berhad, melibatkan 300 pertikaian industri.

Ia merupakan piket terbaharu selepas tindakan yang sama diambil tiga tahun yang lalu.

Piket kali ini akan diadakan di pekarangan HSBC Cawangan Jalan Bukit Timbalan, Johor Bharu Khamis ini.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan perhubungan perusahaan ini selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HSBC Bank Malaysia dan CEO semasa tidak mahu mengadakan atau memanggil Mesyuarat Jawatankuasa Tetap bagi menangani proses Penyelesaian Pertikaian selaras dengan peruntukan Perjanjian Kolektif (CA).

“Pengurusan HSBC Bank Malaysia enggan menyelesaikan isu-isu yang telah dibangkitkan oleh NUBE sejak tiga tahun kebelakangan ini, dan mencabuli hak dan kepentingan ahli-ahli NUBE kalangan B40 dan M40,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Solomon berkata, antara pertikaian industri yang telah dikenal pasti termasuklah pihak bank enggan menghormati undang-undang buruh Malaysia termasuk peruntukan Akta Perhubungan Perusahaan 1967, mendiskriminasi pekerja-pekerja bank terutama ahli-ahli NUBE, melanggar peruntukan undang-undang buruh bagi mengawal fungsi dan peranan kesatuan sekerja, iaitu NUBE, mengabaikan aduan-aduan yang dikemukakan oleh pekerja dan NUBE, menjemput pekerja untuk mesyuarat tetapi tidak membenarkan mereka memasuki premis mesyuarat, dan penyemburan keluar pekerjaan kepada pihak ketiga dan memaksa ahli-ahli NUBE mengambil VSS, dan membuat permohonan baharu untuk diambil kerja di HSBC Bank Malaysia.

Menurut Solomon, NUBE tiada pilihan kecuali mengambil tindakan ini memandangkan HSBC Bank Malaysia telah berulang kali enggan berbincang dengan NUBE, di pelbagai peringkat, di bawah peruntukan semangat perhubungan perusahaan harmoni yang jelas termaktub dalam CA antara NUBE dan HSBC Bank Malaysia, dan Akta Perhubungan Perusahaan, dan pada masa yang sama, dengan sengaja mengelak daripada berunding untuk mencari penyelesaian ke atas segala aduan dan pertikaian industri yang telah dibangkitkan.

“Tindakan tidak adil dan tidak profesional HSBC Bank Malaysia itu, yang melibatkan 300 pertikaian industri semasa pandemik, adalah melampu dan mencabar kesabaran pekerja-pekerja B40 dan M40. Sikap sedemikian juga tidak mencerminkan kedudukannya sebagai sebuah bank bertaraf global,” kata beliau.