KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) meminta Kementerian Kesihatan menyemak semula kaedah pelaporan harian kes COVID-19 bagi memudahkan orang ramai memperoleh maklumat terkini dan mengelakkan persepsi negatif mengenai kaedah yang digunakan sekarang.
Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, di sebalik usaha-usaha yang sedang diambil untuk menangani pandemik ini, sejak awal minggu ini, NUBE mendapati pihak media menyiarkan set data yang berbeza mengenai jumlah kes jangkitan harian terkini, sehingga menimbulkan pelbagai persoalan mengenai ketepatan data.
“Perbezaan dalam laporan mereka dipercaya berpunca daripada kelainan dalam maklumat yang diperoleh daripada Kementerian Kesihatan,” kata beliau dalam kenyataan media dikeluarkan.
Kata Solomon, penelitian NUBE mendapati bahawa terdapat tiga atau empat data yang boleh diperoleh setiap hari ini.
Pertama statistik yang dikeluarkan menerusi portal terkini COVIDNOW, yang lazimnya muncul menjelang tengah hari setiap (berdasarkan data jam 11.59 tengah malam hari sebelumnya), manakala kedua catatan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah yang dikeluarkan menerusi media sosial beliau dan satu lagi kenyataan media Kementerian Kesihatan pada sebelah petang setiap hari (berdasarkan data setakat 12 tengah hari).
Oleh itu kata beliau, pada pandangan NUBE, kewujudan pelbagai set data mengenai status kes COVID-19 di Malaysia, yang boleh mengeliirukan orang ramai yang sudah pun berhadapan dengan siri tekanan ekoran krisis kesihatan ini yang terus berpanjangan.
Pada 9 September lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, segala maklumat dan data berkaitan COVID-19 kini akan dipaparkan di laman web baharu COVIDNOW, dan pelaporan harian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menggunakan format baharu.
Kata beliau, data yang bakal dipaparkan memalui pembaharuan tersebut termasuklah perincian kes baharu dan kematian beserta status dan jenis vaksin; kapasiti sistem kesihatan awam; serta data kesan sampingan susulan vaksinasi (AEFI).
Beliau berkata, ia sebagai tambahan kepada pelaporan data sebelum ini seperti kes mengikut negeri dan ujian saringan, kluster, kadar kematian mengikut negeri, kapasiti penggunaan ICU dan data mobiliti.
Dalam kenyataannya hari ini, Solomon menambah, walau apa bentuk ata atau statistik yang hendak digunakan, ia seharusnya sesuatu yang konsisten bagi membolehkan setiap pengguna data hanya memperoleh maklumat yang tepat dan tidak mengelirukan sesiapa, terutama pihak media yang sentiasa berusaha untuk menyediakan maklumat terkini kepada orang ramai.
Oleh itu, jelas beliau, NUBE menyarankan Kementerian Kesihatan agar menggunakan satu kaedah yang seragam, yang digunakan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV), dalam menyediakan maklumat terkini yang konsisten atau kita kembali kepada kaedah yang pernah digunakan oleh Kementerian Kesihatan sebelum ini.
Solomon berkata, Malaysia telah memperuntukkan dana yang besar untuk pembangunan teknologi maklumat bagi tujuan mengumpulkan data.
“Kita kadang-kadang menerima angka lama yang dibawa ke hadapan atau ‘backlogs cases’, dan bukannya berdasarkan butiran 12 tengah malam atau tengah hari. Ini membingungkan rakyat sehingga menimbulkan persoalan sama ada angka yang diberikan kadang-kadang boleh dipercayai dan diterima.
“Kerajaan masa lalu telah berkompromi dari segi ketelusan dan juga dari segi teras kepercayaan.
“Kami berharap kerajaan pada hari ini tidak akan berkompromi dari ketelusan dan konsistensi dalam pentadbiran mereka jika tidak, asas kepercayaan rakyat tidak dapat dipertahankan,” kata beliau lagi.
Sehubungan itu, katanya, NUBE berharap Kementerian Kesihatan akan memilih satu kaedah yang konsisten dan seragam, tidak kira bila tarikh akhir pelaporan, sama ada tengah malam tarikh pelaporan (11.59 malam) atau satu masa tertentu pada hari pelaporan (12 tengah hari setiap), supaya maklumat-maklumat yang dikeluarkan tidak mengelirukan dan menimbulkan pelbagai persoalan mengenai aspek keseragaman data yang terkini.