NUBE menang kes HSBC pecat pekerja, 2 ahli dikembalikan jawatan asal

Dua ahli NUBE, Sarimah Awang Senik (kiri) dan T. Sethupathy yang dipecat oleh HSBC Bank Malaysia. Mahkamah Perusahaan memutuskan pemecatan mereka tidak sah. – Foto ihsan NUBE

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menang dalam kes yang dibawa ke atas HSBC Bank Malaysia (HSBC) berhubung pemecatan dua ahlinya lebih empat tahun lalu.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, pihkanya menyambut baik keputusan Mahkamah Perusahaan yang mengarahkan dua ahli terbabit dikembalikan ke jawatan asal mereka.

Mahkamah Perusahaan memutuskan perkara itu pada 2 Februari lalu.

Kedua-dua ahli, Sarimah Awang Senik dan T. Sethupathy telah dipecat oleh HSBC Bank kerana menyertai aktiviti Kesatuan Sekerja yang sah. Lanjutan tindakan itu NUBE memfailkan pertikaian perusahaan terhadap HSBC Bank pada 2019.

“Dengan rahmat Yang Maha Kuasa, kita berjaya dalam usaha berpegang kepada keadilan.

“Keputusan ini adalah sinar harapan bagi kesatuan-kesatuan sekerja dan ahli mereka yang berdepan dengan hak asasi manusia kesatuan sekerja diinjak-injak secara terang-terangan,” kata beliau dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Kata Solomon, NUBE mengucapkan terima kasih kepada setiap ahli yang menyokong dan telah menyertai tindakan perusahaan selama ini.

“NUBE berdiri teguh dan berani berjuang dalam ujian ini dengan kepercayaan serta keyakinan bahawa keadilan akan terbukti unggul, dan ini telah menjadi kenyataan,” kata beliau.

Sekarang, kedua-dua Sarimah dan Sethupathy berumur 45 dan 47 tahun.

Dalam keputusan yang dikeluarkan secara berasingan, Mahkamah Perusahaan berkata, setelah mempertimbangkan fakta-fakta yang dikemukakan, pihaknya memerintahkan supaya pihak yang menuntut dikembalikan semula ke jawatan asal atau jawatan yang setaraf dengannya dalam bank tanpa kehilangan kekananan, perkhidmatan, bonus dan faedah lain, monetari atau selainnya termasuk pelarasan gaji dan kenaikan yang dia akan perolehi sekiranya dia tidak dipecat oleh Bank.

Menurut keputusan itu, mengenai tunggakan gaji atau tunggakan gaji yang akan diberikan kepada pihak yang menuntut, mahkamah telah mengambil kira fakta bahawa pihak yang menuntut telah bekerja di NUBE dari April 2019 hingga Disember 2020, tempoh 20 bulan, dalam tempoh mana pihak menuntut menerima gaji yang sama, sebagai apa yang dia dibayar oleh bank.

“Oleh itu, mahkamah memerintahkan bahawa jumlah yang bersamaan dengan 30 peratus daripada gaji tunggakan pihak menuntut ditolak daripada tunggakan gaji yang perlu dibayar oleh bank kepada pihak menuntut.

“Mahkamah dengan ini memerintahkan supaya pihak yang menuntut dimasukkan semula ke Bank dalam tempoh 30 hari dari tarikh award ini,” kata tulisan keputusan mahkamah.

Tahun lalu, NUBE telah mengadakan lima siri piket kebangsaan terhadap HSBC melibatkan 300 pertikaian perusahaan merangkumi satu tempoh selama empat tahun.

Malah, pada tahun lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegur kerajaan Malaysia berhubung dakwaan penganiayaan terhadap pekerja oleh Bank HSBC sejak tiga tahun lalu.

Teguran itu dibuat oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) iaitu sebuah agensi khusus di bawah PBB.

Kenyataan teguran itu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kebebasan Berpersatuan (CFA).

Salah satu isu difailkan oleh NUBE di PBB turut melibatkan nasib dua ahli terbabit yang dipecat oleh HSBC.

Menurut laporan CFA, NUBE kemudian mendakwa bahawa semasa tindakan industri September 2018, ahli-ahli mereka telah diganggu dan diancam oleh polis kerana menggunakan hak untuk berhimpun dan berpiket secara aman.

Selepas tindakan industri pada September 2018, Sarimah dan Sethupathy, juga pegawai kesatuan, telah digantung kerja dan kemudiannya ditamatkan perkhidmatan dan seorang wakil, Arshad Amran, telah digantung kerja tetapi kemudiannya dikembalikan semula.

Walaupun kakitangan bank di seluruh negara telah mengambil bahagian dalam pertikaian dan aktiviti perdagangan yang sama, HSBC sengaja bertindak terhadap ahli-ahli NUBE di Kuala Lumpur dan ketiga-tiga ahli kesatuan itu, dengan tujuan mengganggu mereka daripada terlibat dalam kerja kesatuan sekerja yang sah dan melemahkan semangat ahli lain.

Surat tunjuk sebab yang mereka terima mendakwa bahawa kelakuan terlibat dalam tindakan kesatuan menunjukkan kegagalan untuk bertindak demi kepentingan bank dan oleh itu merupakan pelanggaran kewajipan.

Sethupathy dan Sarimah merayu terhadap keputusan itu kepada bank, yang ditolak. Mereka juga memfailkan kes ke Mahkamah Perusahaan tetapi tidak ada perkembangan sehingga kini.

NUBE mendakwa 19 anggota lain turut ditegur dan diberikan surat tunjuk sebab dan amaran terhadap penyertaan mereka dalam tindakan perindustrian pada masa hadapan dan pihak bank mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli kesatuan sekerja lain yang turut serta dalam tindakan perindustrian itu.

Kesatuan itu mendakwa bahawa akta ini bertentangan dengan seksyen 4, 5(d), 39(a) dan 59(d) Akta Perhubungan Perusahaan (IRA), yang mana ia memfailkan aduan kepada Kementerian Sumber Manusia pada April 2019.

MENYUSUL