KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) melancarkan siri piket di seluruh negara terhadap semua bank bagi membantah tindakan keterlaluan ketua pegawai eksekutif (CEO) masing-masing yang didakwa cuba menggagalkan kesatuan sekerja.
Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, sebahagian besar daripada bank berkenaan adalah syarikat berkaitan kerajaan yang bertindak bertentangan dengan tujuan kewujudannya.
“Bank milikan luar negara dan tempatan, turut mencontohi pelanggaran terang-terangan GLC terbabit, tanpa berselindung melakukan pelanggaran hak pekerja masing-masing.
“Badan kawal selia, bagaimanapun, berdiam diri terhadap salah laku sedemikian, sebaliknya memihak kepada penindas,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Menurut Solomon, para CEO menerima pendapatan tahunan yang hanya mampu diperoleh ahli NUBE jika mereka bekerja selama 1,000 tahun.
Kata beliau, pendapatan keterlaluan itu tidak meletakkan CEO berkenaan dalam kasta yang lebih tinggi daripada kelas pekerja.
“Ahli NUBE mungkin mendapat gaji yang rendah berbanding dengan CEO, namun, mereka juga berhak terhadap hak asasi manusia dan kami mendesak untuk kesaksamaan, dan bukan dilayan seperti hamba,” tambah beliau.
Solomon berkata, CEO bank-bank terbabit berterusan melanggar proses, prosedur, kebiasaan dan konvensyen buruh antarabangsa yang telah ditetapkan, dalam interaksi dan rundingan mereka dengan NUBE.
“Laporan berita yang mendedahkan peningkatan mendadak kes penipuan baru-baru ini bukanlah suatu kebetulan. Malaysia juga berada di tempat kedua negara paling buruk di dunia dari segi keseimbangan kerja-kehidupan.
“Jika CEO terus berkelakuan sebagai tuan dan menuntut kelas pekerja mematuhi semua kehendak mereka, ia adalah penghambaan kelas pekerja yang telah dirancang,” kata beliau lagi.
Katanya, rakyat di negara berdaulat tidak seharusnya secara berterusan dilayan seperti hamba, terutama di rumah dan negara sendiri.
“Kami mengharapkan sokongan pelanggan kami semasa piket ini berjalan, dan yakin bahawa pelanggan juga memahami keperluan kepada perjuangan kami untuk mendapat kesaksamaan dan penghormatan bagi pekerja, yang juga rakyat di negara ini,” kata beliau.