NUBE gesa PM Anwar lakukan perubahan di Bank Negara, lindungi kepentingan pekerja

NUBE berpandangan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim harus campur tangan untuk membuat perubahan yang perlu dalam Bank Negara Malaysia (BNM) atas semangat ketelusan dan tadbir urus yang baik.

KUALA LUMPUR: Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim harus campur tangan untuk membuat perubahan yang perlu dalam Bank Negara Malaysia (BNM) atas semangat ketelusan dan tadbir urus yang baik, yang dijanjikan oleh kerajaan baharu.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), J Solomon (foto) berkata, langkah itu perlu memandangkan BNM telah tidak berminat untuk melihat kepentingan golongan pekerja bergaji paling rendah.

“NUBE merayu kepada BNM untuk campur tangan dalam perkara ini.

“Rayuan seperti itu tidak diendahkan kerana BNM jelas tidak berminat untuk melihat kepentingan golongan pekerja bergaji paling rendah di negara ini.

“BNM bertindak sebagai pembantu kelas perniagaan, dan bukan sahaja perniagaan besar tempatan tetapi juga perniagaan asing,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Malah kata beliau, BNM telah gagal dengan ketara dalam mengutamakan kepentingan ekonomi Malaysia dan rakyat Malaysia.

Kata beliau, BNM telah menyerahkan jiwanya kepada kepentingan perniagaan besar dan khususnya pelabur asing.

“Pelabur asing yang dirujuk bukanlah perniagaan yang melabur untuk tujuan mengaut keuntungan dan juga untuk melabur demi kesejahteraan Malaysia, yang akan menjadi satu bentuk pelaburan yang dialu-alukan.

“Jenis pelabur asing yang BNM bersekongkol adalah pelabur spekulatif yang ingin mengeksploitasi sumber Malaysia, termasuk pekerja Malaysia.

“Ini adalah bentuk rasuah yang paling teruk, di mana ada pegawai awam menjual rakyat biasa di Malaysia,” kata beliau lagi.

Dengan merujuk kepada isu Citibank, Solomon berkata, bank antarabangsa itu yang telah beroperasi di Malaysia selama 63 tahun memutuskan untuk menjual perniagaan Perbankan Penggunanya untuk pulangan tunai yang besar.

“Ini menyebabkan pekerja-pekerja Malaysia ditamatkan perkhidmatan di Citibank tanpa sebarang pampasan pemberhetian atau bayaran penghargaan daripada hasil jualan.

“Semua perniagaan mempunyai kewajipan moral dan etika dan mereka harus menghormati hak asasi manusia kerana mereka tidak sepatutnya melanggar hak asasi manusia pekerja-pekerja mereka.

“Di Korea Selatan, dalam keadaan yang sama, bank pusat campur tangan dan Citibank membayar tujuh tahun gaji sebagai pampasan untuk penamatan pekerjaan setiap pekerja yang terjejas,” kata beliau.

Dalam kenyataan dikeluarkan minggu lepeas, Solomon menggesa kerajaan memantau pelabur asing di Malaysia agar mematuhi undang-undang dan dasar tempatan negara.

Katanya, ia supaya selaras dengan matlamat ekonomi dan rancangan pembangunan negara.

Menurut belkau, perjanjian dua hala dengan negara pelabur asing perlu disemak semula bagi menghalang kekayaan Malaysia daripada disedut keluar sekaligus menjejaskan kedaulatan negara.

“Tindakan membawa keluar hasil jualan perniagaan perbankan pengguna Citibank baru-baru ini, selepas beroperasi selama 63 tahun, tanpa berkongsi dengan pihak-pihak berkepentingan, adalah contoh yang berbahaya.

“Ini menggambarkan Malaysia tidak mempunyai sistem yang betul untuk mencegah perbuatan menyedut keluar kekayaan Malaysia,” katanya.