NUBE dakwa Bank Negara gagal sediakan fabrik sosial, lupa juzuk terpenting sektor perbankan

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) mendakwa Bank Negara Malaysia (BNM) semakin gagal untuk merapatkan ketidaksamaan yang semakin meluas. – Foto ihsan Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) mendakwa Bank Negara Malaysia (BNM) semakin gagal untuk merapatkan ketidaksamaan yang semakin meluas dan mengawal kedua-dua peningkatan kos sara hidup dan susut nilai ringgit yang berterusan.

Sehubungan dengan itu beliau menggesa Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menghentikan “mentaliti kelab orang kaya dan bertanggungjawab menegakkan kepercayaannya dalam menghormati visi Gabenor pertama, Allahyarham Tun Ismail Mohd Alu, dan tidak menjadikan Malaysia sebagai Sri Lanka yang berhadapan dengan kemelut politik dan ekonomi.

“Peranan BNM antara lain adalah untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan dengan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.

“Salah satu peranan fungsinya yang penting ialah menjadi jurubank dan penasihat kepada kerajaan sambil menyediakan penyampaian perkhidmatan yang cekap dengan melibatkan orang ramai,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Katanya, masih terdapat penempatan Orang Asli yang berhadapan dengan masalah tiada kemudahan bekalan air bersih asas walaupun sudah 65 tahun negara merdeka.

Selain itu, di negeri-negeri tertentu di Malaysia, pelajar sekolah menyeberangi sungai sendirian, menaiki rakit dan tali, mempertaruhkan nyawa dan anggota badan setiap hari untuk sampai ke sekolah mereka. Namun, pada masa yang sama, kita melihat taikun membina bangunan pencakar langit, untuk tidur dan makan di langit.

Banjir kilat muncul akibat pembangunan yang pesat, yang disediakan untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang kaya dan ekspatriat untuk tinggal di pusat bandar manakala rakyat Malaysia yang lain pula dipindahkan ke pinggir bandar.

Kata Solomon, BNM baru-baru ini teruja mengumumkan kelulusan lesen perbankan digital baharu, yang dipohon oleh taikun kaya walaupun bank sedia ada yang mempunyai sumber yang mencukupi mampu menyediakan perkhidmatan sedemikian kepada pelanggan.

Pada 29 April lalu, BNM mengumumkan lima pemohon yang berjaya mendapatkan lesen bank digital diluluskan oleh Menteri Kewangan.

BNM berkata, tiga pemohon dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK) ialah Konsortium Boost Holdings Sdn Bhd dan RHB Bank Berhad, Konsortium diterajui GXS Bank Pte Ltd dan Kuok Brothers Sdn Bhd serta Konsortium diterajui Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn Bhd.

Menurut Solomon, pada penghujung 1990-an, BNM memberi tekanan ke atas banyak bank domestik agar bergabung dan untuk menjadi kukuh, untuk kekal berdaya saing dengan bank asing pada alaf baharu.

“Pada masa dahlu kita berbangga apabila BNM mewajibkan bank membuka cawangan di kawasan-kawasan luar bandar jika mereka berhasrat untuk membuka cawangan di kawasan bandar.

“Bagaimanapun pada hari ini, BNM memberi kebenaran kepada bank asing untuk menutup cawangan luar bandar mereka sekali gus menghalang akses penduduk luar bandar kepada perkhidmatan perbankan sepenuhnya dan peluang pekerjaan dalam komuniti luar bandar,” kata beliau.

Solomon menambah, NUBE telah membuat beberapa aduan mengenai salah laku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengurusan HSBC Bank Malaysia, dan tindakan mereka telah menjejaskan pekerja-pekerja bergaji rendah di HSBC sehingga kehilangan mata pencarian masing-masing.

“Malangnya, BNM gagal menyiasat aduan salah laku yang dibuat,” kata beliau.

Solomon menambah, piawaian etika yang tinggi dalam kalangan jurubank merupakan aspek penting untuk melindungi dan meningkatkan imej bank dan memastikan kelangsungan perniagaan jangka panjang mereka.

“BNM nampaknya telah mengetepikan piawaian etika tinggi yang diharapkan daripada CEO dan pengurusan tertinggi, sebaliknya ia hanya mengenakan perkara ini ke atas pekerja-pekerja miskin.

“Jelas sekali, BNM lebih cenderung untuk melindungi komuniti perniagaan, orang kaya, orang berpengaruh dan berkuasa sedangkan perlindungan asas untuk rakyat tempatan, orang miskin dan mereka yang bekerja telah hilang sama sekali dari radar BNM,” kata beliau.

Solomon menjelaskan, BNM lupa bahawa juzuk terpenting dalam sektor perbankan, di atas segalanya ialah rakyat, seluruh penduduk, dan bukan hanya golongan kaya dan berkuasa.

“Berbanding memihak kepada orang kaya dan berkuasa, dan dengan itu menindas orang miskin, BNM mesti mengingatkan dirinya sendiri, dan orang kaya dan berkuasa tentang kewajipan mereka kepada orang miskin.

“NUBE ingin mengingatkan BNM bahawa setiap rakyat Malaysia mempunyai hak ke atas sumber-sumber di bumi, untuk mencari rezeki, untuk menjaga dan melindungi keluarga mereka.

“Apabila kita mengehadkan peluang sesetengah orang dalam masyarakat kita, kita sebenarnya merampas hak di bawah perlembagaan dan asasi manusia mereka, termasuk hak mereka untuk mencari rezeki,” kata beliau lagi.