Mufti Perlis saran dos penggalak ditangguh, dikeluar garis panduan khusus

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan pemberian dos penggalak ditangguhkan sehingga dikeluarkan panduan menentukan siapa yang layak atau sebaliknya. – Foto ihsan Malay Mail Online

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mahu Kementerian Kesihatan menangguhkan pemberian dos ketiga iaitu suntikan penggalak sehingga dikeluarkan panduan menentukan siapa yang layak atau sebaliknya.

Beliau yang dikenali sebagai MAZA berkata, langkah segera itu perlu diambil berikutan kebimbangan segelintir masyarakat mendapat komplikasi dan kesan yang serius selepas mengambil dos ketiga itu.

Menurut beliau, terdapat individu yang berkongsi mengenai kesan sampingan yang dialami susulan suntikan dos ketiga.

“Walaupun secara perbandingan peratus mereka yang mendapat mudarat lebih kecil dibandingkan dengan yang tiada komplikasi, namun setiap keselamatan nyawa dan kesihatan rakyat ujarnya adalah tanggungjawab kerajaan,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan semalan.

Asri berkata, beliau tidak menafikan peranan vaksin sebelum ini yang telah mengurangkan COVID 19, namun sekiranya terus hidup dalam penafian, ia suatu perkara yang tidak berfaedah jika masyarakat melihat realiti sebenar di hadapan mata mereka.

Pada 17 Januari lalu, beliau ada memuat naik status menerusi akaun Instagram miliknya menggesa Kementerian Kesihatan memandang serius dan mengkaji kesan sampingan dos penggalak kepada mereka yang mungkin tidak sesuai.

Ia berikutan bapanya yang mengalami gejala muntah serta menjadi sangat lemah selepas menerima dos ketiga vaksin COVID-19 dan kini sudah lebih seminggu di hospital.

Menurut beliau, ayahnya terkena sekali lagi strok di bahagian yang sensitif di kepala dan puncanya belum jelas.

Beliau turut mempersoalkan sama ada komplikasi terhadap ayahnya itu ada kaitan dengan dos penggalak atau sebebaliknya dan hanya pakar yang dapat menjelaskan.

Susulan catatan itu, Kementerian Kesihatan memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian kesan adverse – mudarat – susulan kes imunisasi (AEFI) membabitkan bapa Asri.

“Pihak NPRA telah menghubungi hospital yang berkenaan dan mereka dalam proses menyiasat dan menyediakan laporan AEFI,” kata Program Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan.

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bertanggungjawab terhadap ujian, kelulusan dan pengawasan produk kesihatan termasuk penggunaan vaksin di Malaysia.